Klopp terima tamparan pertama

Klopp terima tamparan pertama

Pemain tengah Jerman, Kevin Schade mengambil bola tinggi dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah menentang Greece di Augsburg, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUGSBURG, Jerman: Jurgen Klopp menerima hakikat bahawa tugas membangkitkan semula Jerman bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata selepas menyaksikan pasukannya tewas 0-1 kepada Greece dalam aksi persahabatan antarabangsa, semalam.

Kekalahan itu merupakan yang pertama buat Klopp sejak mengambil alih kerusi panas skuad Die Mannschaft, selain mencemarkan penampilan sulungnya di laman sendiri selepas sebelum ini sekadar seri 1-1 menentang Belanda.

Lebih perit, Greece turut melakar sejarah apabila menewaskan Jerman buat kali pertama hasil jaringan tunggal Dimitrios Kourbelis pada minit ke-74.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jerman yang menguasai sebahagian besar permainan gagal memecahkan benteng pertahanan pelawat, malah kelihatan buntu mencari ruang untuk mencipta peluang berbahaya sepanjang perlawanan.

Bagaimanapun, Klopp enggan menjadikan kekalahan tersebut sebagai alasan untuk panik, sebaliknya melihat keputusan itu sebagai sebahagian daripada proses pembinaan semula pasukan.

“Secara peribadi, saya langsung tidak terganggu dengan kekalahan ini. Saya sudah kalah dalam lebih banyak perlawanan sepanjang hidup saya berbanding yang saya harapkan.

“Namun, selagi kita membuat kesimpulan yang tepat, kekalahan pada akhirnya hanyalah satu maklumat dan tidak berbeza daripada kemenangan.

“Kita memang memerlukan perlawanan seperti ini kerana ia adalah aksi yang kita mahukan,” katanya.

Klopp melakukan beberapa eksperimen dalam perlawanan itu dengan merehatkan beberapa tonggak utama sambil memberi peluang kepada muka baharu untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Malah, beliau turut menyenaraikan 16 pemain yang belum pernah beraksi di pentas antarabangsa dalam skuad 44 pemainnya sebagai sebahagian daripada usaha mencari kombinasi terbaik menjelang cabaran lebih besar selepas ini.

Antara yang mencuri perhatian ialah penyerang Hoffenheim, Bambase Conte yang menerima panggilan mengejut walaupun hanya mempunyai pengalaman empat penampilan dalam saingan divisyen utama.

Klopp yang dilantik pada Julai lalu mewarisi pasukan yang sedang bergelut selepas juara dunia empat kali itu tersingkir seawal pusingan 32 terbaik Piala Dunia di Amerika Utara, sekali gus menjadi penyingkiran awal ketiga berturut-turut buat Jerman. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×