Penggodam sasar telefon milik ahli parlimen Jerman - Utusan Malaysia

Penggodam sasar telefon milik ahli parlimen Jerman

KARSTEN WILDBERGER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Menteri Hal Ehwal Digital Jerman, Karsten Wildberger pada Ahad berkata bahawa penggodam menyasarkan peranti milik anggota Dewan Rendah Parlimen Jerman, Bundestag, dan  pegawai kerajaan.

Wildberger memberitahu penyiar awam ARD bahawa serangan itu melibatkan pemberitahuan daripada Apple bahawa peranti tertentu mungkin telah diceroboh menggunakan perisian pengintip yang dikenali sebagai spyware.

Pejabat Persekutuan bagi Keselamatan Maklumat (BSI) bertindak pantas dengan memaklumkan semua individu yang terjejas secara bertulis, menurut Wildberger.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut surat berkenaan yang dilaporkan ARD, iPhone mula menerima pemberitahuan ancaman daripada Apple sejak 29 Oktober yang menyatakan serangan menggunakan perisian pengintip dikenali sebagai ‘Mercenary Spyware’ telah dikesan.

“Buat masa ini, kami tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai punca khusus atau latar belakang pemberitahuan berkenaan,” menurut BSI.

Apple menyifatkan pemberitahuan ancamannya sebagai amaran berketepatan tinggi bahawa seseorang individu telah menjadi sasaran khusus. 

Bagaimanapun, pemberitahuan itu tidak menunjukkan sama ada serangan berkenaan berjaya.

BSI menasihatkan individu yang terjejas supaya menganggap peranti mereka mungkin telah diceroboh sebagai langkah berjaga-jaga.

Wildberger tidak memberikan maklumat lanjut mengenai butiran khusus serangan itu tetapi menyuarakan kebimbangan terhadap laporan berkenaan.

Perisian pengintip ialah perisian yang mengumpul atau memantau maklumat dan aktiviti pengguna secara rahsia tanpa pengetahuan atau persetujuan jelas mereka, lazimnya dengan menghantar maklumat itu kepada pihak ketiga.

Perisian berkenaan boleh dipasang tanpa pengetahuan atau persetujuan pengguna, antaranya dengan mengeksploitasi kelemahan perisian atau menggunakan kaedah pemasangan yang memperdaya mangsa.

Menurut BSI, penyerang boleh menggunakan perisian itu untuk mengakses mesej, termasuk dalam aplikasi pemesejan yang disulitkan, selain panggilan telefon, senarai kenalan, kalendar dan data lokasi.

Mereka juga boleh mengaktifkan mikrofon dan kamera peranti mangsa. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini