KTMB tambah 14,384 tempat duduk sempena Deepavali - Utusan Malaysia

KTMB tambah 14,384 tempat duduk sempena Deepavali

AZLAN Shah Al Bakri (kiri) ketika sidang media sempena program sambutan Deepavali KTMB di KL Sentral, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan tambahan 14,384 tempat duduk menerusi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan EMU Plus bagi memenuhi peningkatan permintaan penumpang sempena perayaan Deepavali.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, sebanyak 100,304 tiket ETS dan EMU Plus telah terjual bagi perjalanan dari 5 hingga 10 November ini.

Menurutnya, tambahan tempat duduk itu merangkumi kira-kira 5,656 bagi laluan Kuala Lumpur ke Padang Besar, 5,000 bagi laluan Kuala Lumpur ke selatan dan 3,000 menerusi perkhidmatan EMU Plus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita menyediakan tambahan tempat duduk menerusi laluan utara dan selatan, selain perkhidmatan EMU Plus bagi menampung permintaan penumpang.

“Jualan tiket bagi tempoh Deepavali kali ini menunjukkan permintaan yang amat menggalakkan, dengan peningkatan kira-kira 70 peratus berbanding tempoh perayaan sama tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azlan Shah berkata, KTMB menyasarkan peningkatan kapasiti perkhidmatan ETS sekurang-kurangnya 30 peratus menerusi penambahbaikan kaedah pengoperasian set tren.

“Melalui kaedah ini, satu set tren boleh digunakan untuk melakukan sehingga tiga perjalanan berbanding satu perjalanan ketika ini, sekali gus membolehkan kita meningkatkan kekerapan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, permintaan terhadap perkhidmatan ETS ketika waktu puncak kini mencecah kira-kira 150 peratus dari segi penggunaan kapasiti, berbanding 78 hingga 80 peratus ketika waktu bukan puncak.

“Penggunaan kapasiti ketika waktu puncak boleh mencecah 150 peratus, manakala pada waktu bukan puncak sekitar 78 hingga 80 peratus,” katanya.

Sementara itu, KTMB turut memperkukuh aspek keselamatan penumpang menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di rangkaian tren susulan insiden cermin tren pecah dipercayai akibat dibaling objek di laluan Padang Besar ke Batu Gajah.

Azlan Shah berkata, siasatan polis bersama Polis Bantuan KTMB membawa kepada pengakuan seorang remaja berusia 14 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Kita melihat penggunaan teknologi sebagai salah satu langkah untuk membantu pemantauan, pencegahan dan pengesanan kejadian seumpama itu,” katanya.

Menurutnya, pemasangan CCTV kini berada pada peringkat akhir, termasuk penyediaan pelan data dan sambungan kepada rangkaian gentian optik.

“Pemasangan CCTV sudah dimulakan dan kini berada pada peringkat akhir, dengan beberapa perkara berkaitan sambungan rangkaian masih diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, KTMB membuka jualan tiket ETS dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi perjalanan Januari hingga Februari 2027, sebagai sebahagian daripada penyediaan 1.57 juta tempat duduk bagi suku pertama tahun depan.

“Kita menyediakan kapasiti tempat duduk yang lebih besar bagi memastikan keperluan perjalanan penumpang dapat dipenuhi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini