Projek ‘gajah putih’ Monorel Melaka, Arab City perlu dipertanggungjawabkan

Projek ‘gajah putih’ Monorel Melaka, Arab City perlu dipertanggungjawabkan

ADLY Zahari (kiri) bersama Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dalam sidang akhbar harian di Bilik Gerakan Utama PH, Kompleks Perniagaan Musai Jaya, Melaka. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Semua projek terbengkalai di Melaka perlu dikaji semula secara telus bagi menentukan hala tuju pemulihannya tanpa mengira pihak yang meluluskan projek berkenaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, setiap projek ‘gajah putih’ perlu mempunyai perancangan yang jelas bagi memastikan wang rakyat dilindungi, selain mengelakkan aset berkenaan terus terbiar tanpa penyelesaian.

Menurutnya, antara projek yang memerlukan perhatian ialah Monorel Melaka yang menelan belanja hampir RM16.5 juta serta projek Arab City.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendirian PH jelas, wang rakyat mesti kita lindungi dan sesiapa pun yang memerintah harus mempunyai prinsip yang sama.

“Setiap projek terbengkalai perlu disemak secara telus tanpa mengira pihak yang meluluskannya.

“Rakyat berhak mengetahui berapa banyak wang yang sudah dibelanjakan bagi setiap projek, ke mana wang itu disalurkan dan siapa yang bertanggungjawab memulihkan projek berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini, hari ini.

Menurut Adly, semakan bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan setiap perbelanjaan awam dapat dipertanggungjawabkan.

Beliau berkata, projek yang tidak diselesaikan turut memberi kesan kepada imej negeri dan masa depan sektor pelancongan.

“Kalau kita lihat kesannya, projek-projek yang terbengkalai ini tidak bagus dalam banyak aspek, sama ada dari segi masa depan pelancongan Melaka itu sendiri dan imej negeri.

“Dalam masa yang sama, aspek keselamatan. Apakah struktur-struktur itu selamat bagi pengunjung, bagi rakyat dan seumpamanya?

“Sebab itu, saya fikir sesiapa pun yang memimpin Melaka harus mempunyai satu agenda dan perancangan yang jelas tentang apa yang harus kita lakukan pada projek-projek yang terbengkalai ini,” katanya.

Mengulas mengenai Monorel Melaka, katanya, PH akan menilai sama ada projek itu masih boleh diteruskan melalui penambahbaikan dan pelaburan baharu atau perlu ditamatkan sekiranya struktur sedia ada tidak lagi selamat digunakan.

“Kalau ada penilaian dan pelaburan baharu pun, kita harus melihat dari segi keselamatan, apakah struktur yang sedia ada boleh digunakan.

“Kita akan menilai dalam dua aspek. Pertama adalah dari segi peluang untuk dia ditambah baik dan membuka kepada pelaburan daripada pihak luar.

“Jika strukturnya sudah tidak boleh digunakan lagi dan ada aspek-aspek keselamatan, maka kita tak ada pilihan melainkan kita kena tamatkan apa yang telah kita ada,” katanya.

Tambahnya, projek terbengkalai tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga melebihi 10 tahun, lebih-lebih lagi apabila lokasinya terletak di pusat pelancongan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini