Sistem pengimbas kargo perlu dinaik taraf

Sistem pengimbas kargo perlu dinaik taraf

HASBI HABIBOLLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem pengimbas kargo perlu dinaik taraf bagi membolehkan pemeriksaan lebih terperinci terhadap kandungan yang mencurigakan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, terdapat teknologi pengimbas yang mampu membezakan bahan sehingga ke peringkat molekul termasuk mengenal pasti perbezaan antara tepung susu dengan dadah.

Katanya, keupayaan teknologi seperti itu merupakan antara perkara yang perlu dilihat dalam usaha mempertingkatkan sistem pengimbasan sedia ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekarang ini ada mesin yang boleh jauh lebih terperinci, boleh membezakan, saya contohkan antara tepung susu dengan dadah.

“Jadi, rasanya itu sesuatu yang perlu kita buat. Kita kena naik taraf sistem kita,” katanya ketika soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas-Kuala Kangsar) mengenai langkah penguatkuasaan dan mekanisme audit bebas bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dalam pemeriksaan kargo serta usaha memperkukuh keselamatan barangan berbahaya sepanjang rantaian bekalan.

Hasbi turut berkongsi maklumat yang diterimanya mengenai penggunaan mesin pengimbas di Australia yang mempunyai tiga lapisan serta keupayaan melihat kandungan kargo secara 360 darjah.

Menurut beliau, teknologi itu membolehkan kandungan kargo yang diragui diteliti dengan lebih tepat.

Katanya, berdasarkan pemerhatian terhadap pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas, terdapat keadaan apabila kandungan kargo tidak dapat dikenal pasti dengan jelas sehingga menimbulkan keraguan.

“Dalam keadaan tersebut, kargo dibawa ke kawasan pemeriksaan untuk dibongkar dan kandungannya diperiksa satu persatu.

“Sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) di lapangan terbang juga masih melalui proses pengumpulan maklumat untuk memperkemas keupayaannya.
“Satu sistem mempunyai kira-kira 15,000 data yang sudah dimasukkan, manakala satu lagi sedang mengumpulkan sekitar 8,000 data,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasbi berkata, proses pemindahan aset dan fungsi pemeriksaan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia dilaksanakan secara berperingkat bermula 1 Oktober 2025.

Menurut beliau, proses itu melibatkan 184 mesin pengimbas kargo dan bagasi di pintu masuk utama negara dengan 132 daripadanya dilengkapi teknologi berasaskan AI.

“Penggunaan pengimbas berteknologi tinggi berpotensi meningkatkan keupayaan pengesanan melalui analisis imej dan pengenalpastian objek yang mempunyai ciri tertentu.

“Bagaimanapun, keberkesanannya bergantung kepada jenis teknologi, konfigurasi sistem, pangkalan data, algoritma dan tahap ketepatan pengesanan.

“Kerajaan akan terus menilai kesesuaian serta keberkesanan teknologi pemeriksaan berdasarkan perkembangan teknologi, tahap ancaman, penilaian risiko dan keperluan keselamatan rantaian bekalan semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini