JOHOR BAHRU: Polis sedang memburu sekumpulan lelaki yang membakar mercun di atas jalan raya utama berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial berhubung kejadian tersebut yang dipercayai berlaku pada pukul 1.30 pagi, hari ini.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota telah ke lokasi kejadian pada pukul 1.45 pagi untuk membuat pemeriksaan lanjut. Bagaimanapun, kumpulan lelaki terbabit telah melarikan diri sebelum polis tiba.
“Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian hanya menemui kesan-kesan saki-baki pembakaran mercun di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan dan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian hotline 07-5563122,” katanya.-UTUSAN











