KANGAR: Kira-kira 150 pesawah meliputi keluasan tanaman sekitar 82.1 hektar di bawah kelompok tanaman padi Kampung Ujung Bukit di sini berdepan tekanan apabila hasil tuaian merosot teruk sehingga menyebabkan sebahagian mereka terpaksa menanggung hutang untuk terus mengusahakan tanaman.
Beberapa faktor dikatakan mendorong kepada permasalahan tersebut antaranya serangan penyakit sehingga menyebabkan padi menjadi ringan dan masalah bekalan air yang menjejaskan pertumbuhan tanaman sekali gus mengurangkan pendapatan pesawah musim ini.
Bendahari padi kelompok Kampung Ujung Bukit, Abu Hassan Othman berkata, sekitar 40 peratus pesawah di kawasan itu terjejas dengan kemerosotan hasil yang menyukarkan mereka mendapatkan semula pulangan modal.
“Pendapatan kurang daripada tahun lepas disebabkan musim ini padi ringan akibat penyakit. Kebanyakan petani tidak mendapatkan pulangan modal dan rugi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang pesawah, Azizan Osman, 47, berkata, kenaikan kos input pertanian termasuk upah membajak, racun dan keperluan lain turut menyebabkan perbelanjaan mengusahakan sawah semakin membebankan.
Katanya, kos mengusahakan sawah boleh mencecah hampir RM1,000 bagi setiap relung sedangkan hasil diperoleh tidak sepadan dengan modal dikeluarkan khususnya bagi pesawah yang mengusahakan tanah secara sewaan.
“Bagi mengatasi masalah pesawah ini, kami berharap harga belian padi dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,800. Selain itu, tingkatkan subsidi memandangkan semua input pertanian, upah berdepan kenaikkan harga,” katanya.
Seorang lagi wakil pesawah, Kamarulnizam Kassim, 45, berkata, mereka turut berharap subsidi diesel dapat diberikan kepada penyedia perkhidmatan jentera pertanian seperti traktor dan mesin padi bagi mengurangkan kos operasi yang turut memberi kesan kepada kadar upah dikenakan kepada pesawah.
Katanya, antara lain, kerajaan juga perlu mempertimbangkan semula pemberian bantuan menunggu musim padi sebanyak RM600 seperti yang pernah disalurkan sebelum ini di samping mengurangkan kadar potongan padi.
“Jadi, bila kerajaan boleh bantu dalam soal ini, secara tidak langsung membantu meringankan kembali beban pesawah. Selain itu, kadar potongan yang dikenakan ketika ini boleh mencecah 30 hingga 50 peratus berbanding kadar kebiasaan sekitar 20 hingga 22 peratus,” katanya.
Katanya lagi, pusat belian dan kilang padi juga diharap dapat melanjutkan tempoh operasi sehingga semua pesawah selesai menuai bagi mengelakkan mereka terpaksa menghantar hasil ke lokasi lebih jauh yang mendorong kepada peningkatan kos.
“Kami harap perkara ini dapat pertimbangan dan diberikan perhatian memandangkan kebanyakan pesawah di sini memang terjejas teruk musim ini,” katanya.-UTUSAN











