MELAKA: MCA menyasarkan untuk mempertahankan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021, iaitu Machap Jaya yang disandang Datuk Ngwe Hee Sem dan Klebang, Datuk Lim Ban Hong, selain meningkatkan majoriti.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kedua-dua penyandang mempunyai rekod khidmat yang baik sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat dan masih mempunyai agenda pembangunan yang perlu diselesaikan.
Beliau berkata, kehadiran pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk menteri dan timbalan menteri di kedua-dua kerusi menjadikan usaha mempertahankan kemenangan satu cabaran besar.
“Ini bukan satu tugas yang mudah dan kita berharap penyandang kita di dua kawasan ini yang menghadapi saingan sengit dapat bertahan dan meningkatkan majoriti sebagai pengiktirafan kepada kepimpinan negeri.
“Pada masa sama, saya anggap ini sebagai referendum terhadap prestasi kerajaan pusat, khususnya yang diterajui Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Bandar Hilir di sini hari ini.
Ka Siong berkata, MCA tidak membuat ramalan mengenai jumlah kerusi yang mampu dimenangi, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan sokongan pengundi sebanyak mungkin.
Menurutnya, kejayaan meningkatkan jumlah kerusi di Johor daripada empat kepada lapan membuktikan MCA masih berupaya memperkukuh kedudukannya.
Katanya, pencapaian di Negeri Sembilan apabila berjaya memenangi dua kerusi yang sebelum ini dianggap sukar turut menjadi bukti sokongan pengundi pelbagai kaum mampu diterjemahkan kepada kemenangan.
“Berpandukan model yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan, di Melaka sejak awal-awal lagi dua kerusi penyandang itu merupakan sasaran kita.
“Kita tidak gentar dan mahu menunjukkan bahawa kita tidak lari daripada sebarang tanggungjawab. Biar kita bertanding, apa juga kemungkinan yang berlaku,” katanya. – UTUSAN











