Tubuhkan dana pampasan mangsa kemalangan pemandu mabuk

Tubuhkan dana pampasan mangsa kemalangan pemandu mabuk

THIRUNAVUKARASU RAJOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembaharuan sistem termasuk penubuhan dana pampasan mangsa kemalangan pemandu mabuk (DUI) perlu segera dilaksanakan bagi memastikan bantuan kewangan dapat disalurkan tepat pada masanya kepada keluarga terjejas.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, langkah itu juga perlu disertai dengan penyediaan bantuan guaman wajib bagi memastikan akses keadilan yang saksama kepada mangsa dan keluarga mereka.

Katanya, peningkatan kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah di negara ini merupakan isu serius yang tidak boleh dipandang ringan malah mencerminkan kegagalan keselamatan awam yang memerlukan tindakan tegas.

“Walaupun data rasmi menunjukkan pemanduan mabuk menyumbang kurang daripada 0.5 peratus kemalangan maut di Malaysia, setiap kematian yang boleh dicegah adalah tidak boleh diterima kerana melibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan sebuah keluarga.

“MMA turut menyuarakan kebimbangan terhadap pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah termasuk bahan terlarang dan ubat-ubatan tertentu yang menjejaskan pertimbangan serta keupayaan memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Thirunavukarasu berkata, bukti daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan pemandu mabuk adalah 13 kali lebih berkemungkinan menyebabkan kemalangan, sekali gus menjadikan isu ini sebagai ancaman nyata kepada keselamatan awam.

Katanya, walaupun Malaysia telah memperketatkan hukuman di bawah pindaan Akta Pengangkutan Jalan 2020, masih terdapat jurang apabila denda yang dikenakan tidak secara langsung membantu keluarga mangsa.

“Keluarga yang kehilangan pencari nafkah terpaksa berdepan proses perundangan yang rumit, pertikaian insurans dan beban kewangan tanpa sokongan mencukupi, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak kepada mekanisme pampasan khusus,” katanya.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk memperkukuh langkah pencegahan termasuk menurunkan had kepekatan alkohol dalam darah (BAC) selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Selain itu, mewajibkan program pemulihan kepada pesalah serta melaksanakan kempen pendidikan awam secara berterusan di seluruh negara.

“MMA berpandangan bahawa kemalangan melibatkan pemandu mabuk bukan isu bermusim, sebaliknya risiko nasional berterusan yang memerlukan tindak balas menyeluruh dan terselaras,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MMA turut menggesa penguatkuasaan dipertingkatkan melalui operasi sepanjang tahun termasuk sekatan jalan raya secara mengejut serta saringan alkohol dan dadah.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi di Klang serta semua keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Keadilan tidak boleh terhenti pada hukuman semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi perlindungan, sokongan dan maruah kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN