PETALING JAYA: Rehat mencukupi selepas syif panjang, jadual tugas lebih teratur serta sokongan lebih baik di tempat kerja perlu diberi perhatian bagi mengekalkan doktor dalam perkhidmatan awam.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Sivanaesan Letchumanan berkata, langkah itu penting bagi memastikan doktor terus berkhidmat dalam keadaan lebih seimbang dan mampan.
Menurutnya, isu pengekalan doktor tidak boleh diselesaikan hanya melalui tawaran jawatan tetap kerana faktor persekitaran kerja dan kesejahteraan turut memainkan peranan besar.
“Doktor dalam sistem kesihatan awam memerlukan lebih daripada sekadar jaminan pekerjaan. Mereka memerlukan persekitaran kerja yang menghargai sumbangan, menyokong perkembangan profesional dan melindungi kesejahteraan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, keperluan itu semakin mendesak susulan peletakan jawatan 3,510 pegawai perubatan antara 2024 hingga 2026, termasuk 1,252 doktor lantikan tetap.
Katanya, angka itu menunjukkan jaminan jawatan semata-mata belum mencukupi untuk mengekalkan doktor dalam perkhidmatan awam.
“MMA pada masa sama menyambut baik komitmen kerajaan untuk menamatkan sistem doktor kontrak, namun menegaskan lantikan tetap hanya sebahagian daripada penyelesaian.
“Kerajaan juga perlu mengkaji semula gaji, elaun dan bayaran tugas atas panggilan supaya lebih setimpal dengan tanggungjawab, waktu bekerja dan tuntutan kerjaya perubatan.
“Selain itu, laluan kenaikan pangkat perlu lebih jelas dan telus, manakala peluang mengikuti latihan kepakaran melalui program Sarjana dan ‘Parallel Pathway’ perlu diperluaskan,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seramai 3,510 pegawai perubatan lantikan tetap dan kontrak meletakkan jawatan, dengan lebih separuh memilih bekerja di sektor swasta.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 4,064 pegawai perubatan tetap dan 9,847 pegawai kontrak yang dilantik antara 2024 hingga 2026.
Dr. Sivanaesan berkata, beban kerja berlebihan juga perlu ditangani melalui pengisian tenaga kerja mencukupi, pembahagian tugas lebih seimbang dan waktu bekerja yang munasabah.
Katanya, semua langkah itu perlu disertai garis masa pelaksanaan yang jelas, peruntukan khusus dan sasaran yang boleh diukur.
“Pengambilan tanpa usaha mengekalkan doktor hanya akan mewujudkan kitaran keluar masuk tanpa henti apabila mereka yang baharu masuk sekadar menggantikan mereka yang terus meninggalkan perkhidmatan awam.
“Malaysia tidak mampu terus kehilangan doktor sedangkan mereka yang kekal dalam sistem terpaksa menanggung beban kerja yang semakin berat.
“Usaha mengekalkan doktor bukan sahaja penting untuk melindungi profesion perubatan, tetapi turut menentukan kualiti penjagaan pesakit dan masa depan sistem kesihatan awam negara,” katanya. – UTUSAN











