Pencuri kabel rel perlu berdepan hukuman lebih tegas

Hukuman curi kabel rel perlu lebih berat, wajar nilai semula

KES kecurian kabel yang membabitkan rel perlu dikenakan hukuman lebih berat seperti sebatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh pemenjaraan lebih panjang dan hukuman sebatan wajar dipertimbangkan sebagai langkah pencegahan bagi membendung kegiatan kecurian kabel di laluan rel.

Pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, hukuman berbentuk pencegahan perlu diperkukuh bagi memberi pengajaran kepada pelaku sekali gus menghalang kegiatan jenayah itu daripada terus berleluasa.

Katanya, hukuman sedia ada masih kurang berkesan memandangkan kegiatan kecurian kabel terus berlaku, malah dilakukan secara semakin berani dan terancang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi kes melibatkan kecurian secara terancang, kesalahan berulang, kerosakan besar atau gangguan serius terhadap perkhidmatan rel, hukuman penjara lebih panjang perlu dipertimbangkan.

“Pelaku juga boleh dikenakan hukuman sebatan tambahan mengikut keseriusan kes. Jika kecurian menyebabkan gangguan perkhidmatan, hukuman penjara mandatori bermula daripada tempoh tertentu boleh dipertimbangkan kerana sudah menjejaskan kepentingan awam,” katanya.

Shahul Hamid berkata, kecurian kabel rel tidak boleh dianggap sebagai kesalahan mencuri harta benda biasa kerana ia melibatkan infrastruktur kritikal negara yang mempunyai implikasi besar terhadap keselamatan awam.

“Walaupun nilai kabel dicuri mungkin kecil, perbuatan itu boleh menyebabkan gangguan kepada sistem isyarat dan operasi rel sehingga perkhidmatan terpaksa dihentikan atau diperlahankan demi keselamatan penumpang,” katanya.

Sementara itu, peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, kesalahan mencuri kabel rel secara umumnya boleh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara serta denda atau sebatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, peruntukan undang-undang lain turut boleh dipertimbangkan sekiranya kecurian itu menyebabkan kerosakan terhadap infrastruktur atau menjejaskan keselamatan operasi rel.

“Antaranya, Seksyen 130 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

“Peruntukan itu melibatkan perbuatan yang dilakukan dengan niat atau pengetahuan bahawa tindakan itu mungkin menghalang operasi kereta api atau membahayakan keselamatan penumpang,” katanya.

Seksyen 128(1) akta sama turut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya bagi perbuatan tertentu yang merosakkan kereta api, premis atau harta pengendali berlesen.

Katanya, Seksyen 430A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan bagi perbuatan khianat yang memenuhi unsur kesalahan berkaitan gangguan atau kerosakan terhadap pengangkutan awam.

“Justeru, pertuduhan yang sesuai bergantung kepada fakta kes, bentuk kerosakan, kesan terhadap operasi rel dan unsur niat atau pengetahuan yang dapat dibuktikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.

Mengenai cadangan memperberat hukuman, Muhammad Akram berkata, keberkesanan kerangka hukuman sedia ada wajar dinilai kerana kecurian kabel rel boleh menjejaskan sistem bekalan kuasa, komunikasi atau persinyalan, mengganggu perkhidmatan dan mengancam keselamatan penumpang.

“Undang-undang sedia ada sudah memperuntukkan hukuman berat, justeru penilaian perlu dilakukan dengan melihat sama ada peruntukan itu digunakan secara berkesan atau terdapat kekangan pembuktian yang menyebabkan kes berimplikasi serius hanya didakwa sebagai kesalahan mencuri biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini