Kontroversi Nik Nazmi jejaskan momentum Bersama di PRN Melaka

Kontroversi Nik Nazmi jejaskan momentum Bersama di PRN Melaka

NIK Nazmi Nik Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontroversi membabitkan nama bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad boleh menjejaskan momentum Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, keadaan itu berlaku kerana Bersama terlalu bergantung kepada dua individu utama iaitu Rafizi Ramli dan Nik Nazmi yang menjadi simbol serta wajah parti berkenaan.

Menurutnya, isu berkaitan moral merupakan perkara sensitif dalam kalangan pengundi Melayu yang boleh memberi kesan terhadap penerimaan rakyat kepada parti tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masalah dengan Bersama adalah ia terlalu bergantung kepada dua individu penting itu. Soal moral ini terutamanya di kalangan pengundi-pengundi Melayu adalah amat sensitif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Presiden Bersama, Ahmad Syukri Che Abdul Razab memaklumkan bahawa Nik Nazmi direhatkan daripada semua aktiviti rasmi parti itu selama tiga bulan, berkuat kuasa 20 Oktober ini hingga 19 Januari 2027.

Menurut Syukri, parti itu memandang serius perkembangan berkenaan dan berpendirian sebarang isu membabitkan kepimpinan serta anggotanya perlu ditangani secara sewajarnya. 

Sebelum itu, Nik Nazmi mengesahkan beliau seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas dakwaan berkhalwat di Petaling Jaya, pada Khamis lalu. 

Dalam pada itu, Azmi berkata, walaupun Bersama mendapat sokongan merentas kaum dan agama, kontroversi membabitkan seorang daripada dua pemimpin utamanya tetap boleh menjejaskan imej serta perkembangan politik parti itu.

Katanya, penggantungan Nik Nazmi selama tiga bulan juga berpotensi merencatkan karier politik beliau namun kesannya terhadap Bersama dilihat lebih besar.

“Walaupun sokongan terhadap Bersama merentas kaum, bangsa dan agama, hakikatnya kedua-dua pemimpin utama ini sangat sinonim dengan parti tersebut.

“Jadi, ia boleh merencatkan karier politik Nik Nazmi walaupun penggantungannya hanya tiga bulan.

“Dalam masa terdekat, Bersama akan bertanding pada PRN Melaka dan keadaan ini sudah pasti boleh merencatkan momentum parti itu,” katanya.

Mengulas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), beliau berkata, keputusan Bersama pada PRN Melaka kelak dijangka memberi gambaran terhadap kesan kontroversi berkenaan kepada masa depan politik Nik Nazmi.

“PRU16 mungkin masih lama lagi tetapi keputusan di Melaka sedikit sebanyak akan mewarnai apa yang bakal berlaku kepada seorang daripada pemimpin utama Bersama iaitu Nik Nazmi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini