BENTONG: Selepas 14 tahun mengeluarkan modal dan tenaga sendiri mengusahakan ladang kelapa sawit, kira-kira 300 pengusaha di Hutan Simpan Kemasul Tambahan 2 berhampiran Felda Chemomoi di sini, masih menunggu kepastian permohonan tanah mereka yang belum mendapat keputusan rasmi.
Mereka mendakwa sebuah syarikat swasta diberikan hak memungut hasil tanaman di kawasan berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai nasib tanaman yang menjadi sumber pendapatan keluarga masing-masing.
Sehubungan itu, mereka merayu campur tangan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi memastikan kemelut berkenaan diselesaikan secara adil dan tidak terus berlarutan.
Ketua Pengusaha Ladang Chemomoi Hutan Simpan Kemasul 2, M. Tamilchelvam, 65, berkata, pengusaha mengeluarkan modal sendiri untuk membersihkan kawasan, menanam sawit dan membina jalan ladang bagi membolehkan tanaman diusahakan.
“Di sebalik tanah yang kami usahakan, ada keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah. Inilah sumber rezeki kami untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui di Felda Chemomoi, semalam.
Menurutnya, kawasan berkenaan didakwa pernah diluluskan untuk pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pada 2008, namun sebahagiannya tidak dimajukan berikutan keadaan muka bumi berbukit dan berbatu.
Katanya, pengusaha mula membersihkan kawasan, membina jalan ladang dan menanam kelapa sawit sekitar 2012 menggunakan modal serta tenaga sendiri dengan harapan permohonan tanah masing-masing mendapat pertimbangan pihak berkuasa.
“Setiap pengusaha memohon kira-kira 1.5 hektar tanah melalui Pejabat Tanah Bentong tetapi sehingga sekarang belum menerima keputusan rasmi.
“Kami kemudian dimaklumkan kawasan berkenaan diwartakan semula sebagai hutan simpan pada 2020 dan sebuah syarikat didakwa mendapat kelulusan tapping right,” katanya.
Tamilchelvam berkata, mereka tidak berniat mempertikaikan undang-undang atau mencetuskan pertelingkahan, sebaliknya mahu mendapatkan penjelasan mengenai status tanah serta asas pemberian hak memungut hasil kepada pihak lain.
Beliau berharap pihak berkuasa mengadakan pertemuan rasmi dengan wakil pengusaha bagi menjelaskan kedudukan sebenar dan meneliti permohonan yang masih belum diselesaikan selepas bertahun-tahun menunggu.
Sementara itu, Ainnilhayah Yahaya, 37, berkata, dia sedih mengenangkan nasib bapanya, Yahaya Embi, 66, yang mengusahakan kawasan berkenaan sejak 2012 dengan mengeluarkan modal sendiri.
“Semua hasil titik peluh ayah saya. Daripada membuka jalan dan membersihkan kawasan hingga menanam sawit, semuanya dilakukan sendiri.
“Tiba-tiba kami mendapat tahu syarikat lain diberikan kebenaran mengambil hasil tanaman itu. Kalau perlu memohon tapping right, kami juga bersedia tetapi kami tidak pernah mendapat penjelasan mengenainya,” katanya. – UTUSAN











