PUTRAJAYA: Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Remaja 2026, Wong Weng Son meletakkan sasaran pingat dalam sukan wushu dan badminton yang akan berlangsung di Dakar, Senegal pada 31 Oktober ini.
Katanya, pemilihan atlet kali ini dibuat berdasarkan kuota yang ditetapkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), sekali gus menyaksikan Malaysia menghantar atlet terbaik yang diharapkan mampu memberikan saingan.
“Apa yang saya nampak, atlet kita masih sangat muda. Kali ini, penyertaan adalah berdasarkan kuota IOC dan kita menghantar atlet terbaik untuk mencuba sedaya upaya mencapai keputusan terbaik serta mendapatkan pingat,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026, semalam.
Weng Son berkata, penangguhan temasya sehingga 2026 akibat pandemik Covid-19 turut mengubah banyak perkara, termasuk perancangan persiapan atlet yang sebelum ini sudah mula dibentuk bagi menghadapi kejohanan berkenaan.
Malaysia bakal mempertaruhkan seorang atlet wushu yang akan beraksi dalam acara gabungan Taijiquan dan Taijijian dari 1 hingga 3 November, manakala badminton diwakili seorang pemain dalam acara perseorangan lelaki.
Mengulas peluang badminton, Weng Son mengakui mempunyai harapan tinggi terhadap pemain negara itu, terutama selepas melihat semangat juang yang ditunjukkan atlet berkenaan.
“Saya juga mempunyai harapan yang sangat tinggi untuk badminton kerana apabila berbual dengan atlet itu, dia menunjukkan semangat luar biasa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sasaran penting bukan sekadar memburu pingat, sebaliknya memastikan atlet muda negara mampu mencapai prestasi terbaik peribadi sebagai persediaan menghadapi kejohanan lebih besar, termasuk Sukan SEA 2027 dan peluang ke Sukan Olimpik pada masa depan.
“Saya harap atlet dapat bertanding dengan sebaik mungkin dan yang paling penting, mencapai prestasi terbaik peribadi mereka supaya bersedia untuk temasya akan datang seperti Sukan SEA 2027 atau, jika berpeluang, Sukan Olimpik,” katanya. – UTUSAN











