PETALING JAYA: Golongan berpendapatan sederhana (M40) yang selama ini berdepan kekangan mendapatkan bantuan langsung kerajaan dijangka menikmati kelegaan kewangan menerusi peningkatan pelepasan cukai dan pengurangan kadar cukai dalam Belanjawan 2027.
Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Barjoyai Bardai berkata, pembaharuan cukai yang diumumkan kerajaan memberi manfaat kepada golongan pembayar cukai dalam kalangan M40 yang tidak layak menerima bantuan kewangan secara langsung.
Menurut beliau, peningkatan pelepasan cukai peribadi daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain penurunan kadar cukai bagi peringkat pertengahan, membolehkan golongan berkenaan menjimatkan sehingga RM1,500 setahun.
“Kumpulan M40 biasanya tidak layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau bantuan terus, sedangkan mereka bukan berpendapatan besar dan merupakan pembayar cukai setia menerusi potongan gaji bulanan.
“Peningkatan pelepasan cukai dan penurunan kadar cukai ini membolehkan mereka menjimatkan kira-kira RM1,500 cukai setahun. Ini bermakna, menerusi pengurangan Potongan Cukai Bulanan (PCB), pendapatan boleh guna mereka dapat ditingkatkan sekitar RM130 sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Inisiatif itu diumumkan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 bernilai RM510 bilion di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Barjoyai menggalakkan penerima bantuan seperti STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memanfaatkan peruntukan RM16 bilion yang disediakan sebagai modal untuk memulakan perniagaan dari rumah bagi menjana pendapatan tambahan.
“Ia juga boleh digunakan sebagai asas untuk memulakan sumber perniagaan baharu, misalnya sebagai modal untuk menubuhkan perniagaan dari rumah.
“Dalam jangka panjang, setiap isi rumah perlu mempunyai pendapatan tambahan dan tidak boleh mengharapkan pendapatan daripada pekerjaan yang menawarkan gaji sangat rendah di Malaysia,” katanya.
Mengenai peluang pekerjaan, beliau menyambut baik inisiatif penetapan gaji lantai RM2,500 bagi graduan dan pekerja separuh mahir yang disifatkan berupaya membantu lebih 500,000 lepasan pengajian tinggi keluar daripada belenggu gaji rendah di bawah RM2,000.
“Langkah penetapan penanda aras gaji RM3,100 hingga RM3,400 bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga merupakan rujukan terbaik dalam mewujudkan pasaran kerja yang adil,” katanya.
Tambahnya, sektor ekonomi gig juga memerlukan perlindungan dan penetapan kadar pendapatan minimum, terutama ketika jumlah tenaga kerja dalam sektor berkenaan dijangka meningkat sehingga lima juta orang dalam tempoh dua tahun.
“Pekerja gig menjadikan bidang ini sebagai penampung kehidupan sementara sebelum beralih ke sektor keusahawanan.
“Justeru, langkah kerajaan menetapkan pendapatan yang seimbang amat penting bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela,” katanya. – UTUSAN











