SHAH ALAM: Penduduk di Bandar Puncak Alam, Taman Alam Budiman, Green Hill Residence dan Taman Puncak Perdana di Persiaran Mokhtar Dahari di sini mendesak supaya tindakan segera diambil terhadap tahap keselamatan laluan utama itu.
Desakan tersebut dinyatakan menerusi perhimpunan aman dihadiri kira-kira 100 penduduk selama 30 minit pada petang semalam sambil mengusung replika keranda serta membina replika kubur di tepi jalan sebagai simbolik kemalangan maut yang kerap terjadi di jalan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrul Hisham Shahbudin berkata, penduduk membangkitkan tempoh pelaksanaan pembinaan jejambat di Persiaran Mokhtar Dahari yang sebelum ini pernah dicadangkan kira-kira 15 tahun lalu.
Katanya, bagaimanapun sehingga hari ini masih perancangan tersebut masih belum dilaksanakan sehingga menyebabkan jalan itu semakin sesak apabila menjadi akses utama bagi penduduk dari Puncak Alam, Puncak Perdana, Meru, Saujana Utama dan sekitarnya.
“Pengguna termasuk dari Setia Alam dan Meru turut menjadikan Persiaran Mokhtar Dahari sebagai alternatif untuk menuju ke Lebuhraya Bertingkat Damansara -Shah Alam (DASH). Sudah lama kami minta supaya pelebaran jalan dan pembinaan jejambat dibuat.
“Malah, penduduk bukan sahaja mengharapkan pembinaan jejambat sebagai penyelesaian jangka panjang, malah mahu ada alternatif jangka pendek dilakukan supaya keselamatan pengguna jalan raya dapat ditingkatkan sementara menunggu projek jejambat tersebut,” katanya pada perhimpunan tersebut, semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, peruntukan sebanyak RM128 juta diperlukan bagi menaik taraf Persiaran Mokhtar Dahari termasuk di persimpangan Alam Budiman bagi mengatasi masalah kesesakan di sana.
Jumlah peruntukan itu turut melibatkan kerja-kerja penambahbaikan di empat persimpangan utama di bawah Rancangan Selangor Kedua (RSK2) sehingga 2030.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, bagaimanapun pada peringkat awal beliau akan menyenaraikan langkah segera yang akan dilakukan bagi mengatasi risiko kemalangan yang kerap berlaku di laluan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Greenhill Residence, Mohd. Zailani Johari, memberitahu, sekurang-kurangnya sebanyak 30,000 kenderaan menggunakan laluan itu pada setiap hari dan mungkin meningkat pada waktu puncak pagi dan petang.
Jelasnya, keadaan itu membebankan pengguna yang terpaksa menempuh tempoh perjalanan pendek namun mengambil masa yang lama, termasuklah bagi ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah.
“Masalah tersebut ditambah lagi dengan kemalangan yang kerap berlaku akibat keadaan jalan yang berbahaya dan kecuaian pemandu. Situasi itu pastinya juga membimbangkan ibu bapa yang menghantar anak menggunakan perkhidmatan bas sekolah.
“Justeru, penduduk mahu langkah keselamatan dilaksanakan segera kerana kita tidak boleh hanya menunggu pembinaan jejambat, sedangkan pengguna masih berdepan risiko ketika melalui jalan ini,” tegasnya. – UTUSAN










