PETALING JAYA: Cadangan menaikkan had umur mendapatkan lesen motosikal kepada 18 tahun bukan penyelesaian menyeluruh bagi menangani isu remaja bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen dan terlibat kegiatan lumba haram.
Perkara itu setelah rekod Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menunjukkan kegiatan lumba haram membabitkan penunggang sudah mencapai umur kelayakan mendapatkan lesen memandu.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, isu lumba haram berpunca daripada pelbagai faktor termasuk hukuman ringan serta kurangnya ketegasan dalam menangani kesalahan berkenaan.
Katanya, tindakan terhadap ibu bapa yang membenarkan anak bawah umur menunggang motosikal juga dilihat belum cukup berkesan untuk membendung masalah itu.
“Hukuman dianggap ringan. Kalau kena tangkap, selalunya amaran atau ibu bapa yang kena denda bukan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Selain itu, katanya, sikap segelintir Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang kurang mengambil serius isu berkenaan turut menyumbang kepada normalisasi perbuatan menunggang motosikal tanpa lesen dalam kalangan remaja bawah umur.
Keadaan itu, tambah beliau, diburukkan lagi oleh kurangnya keprihatinan orang dewasa untuk menegur dan menasihati remaja yang melakukan kesalahan tersebut sekali gus menyebabkan perbuatan itu seolah-olah diterima sebagai perkara biasa dalam masyarakat.
“Ibu bapa sendiri yang memberikan kunci motosikal kepada anak-anak atas alasan memudahkan mereka ke sekolah, membeli barang atau menghadiri kelas tuisyen,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhammed Hasbullah berkata, kos mendapatkan lesen motosikal kelas B2 yang dianggarkan antara RM600 hingga RM900 turut menjadi faktor yang mendorong sesetengah remaja memilih untuk menunggang tanpa lesen.
Ujarnya, ada juga yang tidak mengetahui prosedur mendapatkan lesen memandu yang sah manakala sebahagian yang lain menganggap keperluan menghadiri kelas memandu sebagai sesuatu yang menyusahkan.
“Situasi ini menunjukkan isu penunggang motosikal bawah umur bukan sahaja berkait dengan penguatkuasaan undang-undang malah turut melibatkan faktor keluarga, kesedaran masyarakat dan akses kepada proses mendapatkan lesen memandu yang sah,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, katanya, seramai 2,056 penunggang motosikal bawah umur 17 tahun telah ditahan bagi tempoh 2024 hingga September lalu.
Ujarnya, daripada jumlah itu, seramai 625 penunggang direkodkan pada 2024 sebelum meningkat kepada 734 orang pada 2025 iaitu pertambahan sebanyak 109 orang atau 17.4 peratus.
“Bagi tempoh Januari hingga September lalu pula, seramai 697 penunggang bawah umur direkodkan. Perkembangan ini menunjukkan keperluan untuk memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya, khususnya dalam kalangan remaja,” jelasnya.
Muhammed Hasbullah berkata, penunggang motosikal bawah 18 tahun menjadi kumpulan tertinggi yang terlibat dalam kemalangan maut.
“Ini kerana mereka kurang kemahiran mengendalikan motosikal serta pengetahuan undang-undang jalan raya selain ketiadaan lesen sah turut boleh menimbulkan implikasi terhadap perlindungan insurans sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, cadangan tersebut wajar diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek keselamatan jalan raya, tahap kematangan penunggang dan keberkesanan sistem pelesenan.
“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penunggang, pemilik kenderaan atau pihak yang membenarkan penggunaan motosikal tanpa lesen, tertakluk pada kesalahan yang dibuktikan dan peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.-UTUSAN











