PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bakal mengharungi satu lagi pengalaman baharu di Philip Island, Australia dengan cuaca yang sukar diramal dan angin bertiup kencang, hujung minggu ini.
Menjelang Grand Prix (GP) Motosikal Australia itu, Hakim Danish telah melakukan persediaan rapi sebelum terbang ke negara ‘kangaroo’ tersebut termasuk meneliti semula rakaman video perlumbaan.
“Persiapan saya menjelang GP Australia berjalan dengan baik dan saya sangat teruja untuk berlumba di Phillip Island kerana litar ini masih baharu bagi saya.
“Saya juga tidak sabar untuk beraksi di sana kerana melihat kepada litar itu, saya rasa ia sangat menarik. Saya menantikan sesi latihan pertama pada Jumaat ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, kelmarin.
Menurut pelumba AEON Credit MT-Helmets MSi itu, bagi persiapan menghadapi perlumbaan di Phillip Island, dia menjalani latihan di Malaysia, selain, meneliti semula kesilapan yang dilakukan dalam dua perlumbaan sebelum ini.
Jelasnya, dia cuba memperbaiki kelemahan yang telahpun dikenal pasti dan mahu memberikan aksi terbaik minggu ini sebelum pulang untuk menghadapi perlumbaan di laman sendiri pada GP Malaysia 30 Oktober-1 November ini.
“Kecederaan akibat kemalangan sebelum ini juga semakin pulih. Walaupun masih ada sedikit rasa sakit, keadaan itu bukan penghalang untuk saya terus berjuang dan memberikan yang terbaik, ” ujarnya.
Hakim Danish kini mengumpul 107 mata keseluruhan untuk berada di kedudukan kesembilan dalam klasifikasi keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3. – UTUSAN
KAPSYEN
HAKIM DANISH











