PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit dari petak ke-26 untuk menamatkan Grand Prix (GP) Indonesia di tempat ke-14 di Litar Antarabangsa Mandalika, hari ini.
Memulakan perlumbaan dari barisan paling belakang, pelumba muda negara itu berjaya memintas beberapa pesaing sehingga berada di kedudukan ke-10 pada satu ketika, sekali gus memperlihatkan keupayaannya bersaing dalam kelompok hadapan.
Bagaimanapun, Hakim Danish gagal mengekalkan kedudukan tersebut ketika perlumbaan menghampiri penghujung apabila beberapa pelumba lawan mengambil kesempatan untuk memintasnya dalam pusingan terakhir.
Dia akhirnya menamatkan perlumbaan dengan ketinggalan 26.059 saat di belakang pelumba CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles, yang muncul juara dengan catatan masa 32 minit 36.821 saat.
Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish meraih dua mata untuk mengumpul keseluruhan 107 mata, namun kedudukannya dalam carta kejuaraan merosot dua anak tangga berbanding minggu lalu.
Sementara itu, Quiles menguasai perlumbaan untuk meraih 25 mata, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di puncak kejuaraan dengan 351 mata.
Pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa, yang muncul juara di Jepun minggu lalu, terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas ketinggalan 2.994 saat di belakang Quiles.
Tempat ketiga pula menjadi milik Brian Uriarte daripada Red Bull KTM Ajo, yang menamatkan perlumbaan dengan perbezaan 5.156 saat di belakang pemenang.-UTUSAN











