PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mahu memadam ingatan insiden di Jepun dengan tumpuan kepada Grand Prix (GP) Motosikal Indonesia di Litar Mandalika hujung minggu ini.
Anak jati Terengganu yang bernaung di bawah pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berkata, fokusnya kini untuk terus konsisten mengutip mata dengan baki perlumbaan yang masih berbaki dan salah satunya saingan di Litar Mandalika.
“Saya mahu melupakan sepenuhnya episod kemalangan di Jepun minggu lalu. Apa yang berlaku di Motegi sudah pun berlalu dan ia menjadi pengajaran berguna buat saya untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Hakim Danish, perlumbaan di Litar Mandalika bukanlah asing kerana pernah beraksi dalam Asia Talent Cup (ATC), kira-kira empat tahun lalu.
“Litar ini mempunyai beberapa selekoh berkelajuan tinggi dan juga bahagian yang agak teknikal, terutama di sektor pertama dan sektor terakhir yang menampilkan selekoh-selekoh tajam.
“Jadi, saya perlu meningkatkan lagi kelajuan dan prestasi di bahagian tersebut,” ujar pelumba berusia 19 tahun itu.
Mengulas kecederaan bahu yang dialaminya, Hakim Danish memberitahu, dia kini fokus dengan sesi fisioterapi untuk kembali pulih sepenuhnya sebelum beraksi di litar.
Selepas mengumpul 105 mata, Hakim Danish kini berada di kedudukan ketujuh keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 dan tempat kedua di belakang pelumba Sepanyol, Brian Uriarte dalam senarai pendatang baharu. – UTUSAN











