SEPANG: Selepas melalui beberapa episod sukar dalam Kejuaraan Dunia Moto3, pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli bertekad untuk mengejar podium ketiganya dan dalam masa sama, mengulangi pencapaian mentornya, Zulfahmi Khairuddin pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Pelumba yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mencatat masa sepusingan dua minit 10.529 saat (s) pada sesi kelayakan kedua (Q2) untuk mengesahkan tempat di barisan hadapan bersama dua pelumba terbaik lain.
Juara dunia Moto3 yang baharu, Maximo Quiles daripada pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team mengungguli sesi kelayakan dengan catatan masa terpantas 2:10.396s, manakala pelumba Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte di tempat kedua dengan lakaran masa 2:10.480s.
Hakim Danish berkata, bukan mudah untuk mendapatkan kedudukan ketiga itu, namun usaha keras yang dilakukan pada setiap pusingan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memenuhi sasaran untuk memulakan perlumbaan dari barisan hadapan.
Menurut pelumba berusia 19 tahun itu, kedudukan berkenaan amat penting bagi membolehkannya bersaing rapat dengan kelompok pelumba terpantas sebaik perlumbaan bermula.
“Selepas beberapa perlumbaan saya agak bergelut dan sering berada di belakang, jadi permulaan dari barisan hadapan ini sangat bermakna. Saya akan cuba kekal bersama kelompok pelumba hadapan sehingga tamat perlumbaan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Mengulas lanjut mengenai persediaan menghadapi perlumbaan esok, Hakim Danish memberitahu, dia masih perlu memperbaiki prestasi di sektor satu dan tiga bagi memastikan mampu memberikan saingan lebih baik.
Pelumba itu juga tidak menafikan berdepan sedikit kebimbangan menjelang GP Malaysia selepas melalui tempoh sukar sebelum ini, namun dia bertekad untuk mengulangi pencapaian Zulfahmi yang mencatat podium pada edisi 2012.
“Abang Fahmi, dia berada di petak pertama, tetapi saya P3. Saya takkan berputus, saya yakin peluang saya akan datang juga. Saya harap dapat kekal positif dan berikan segala-galanya di hadapan penyokong sendiri,” ujarnya. – UTUSAN










