PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli perlu mengutip mata sebanyak mungkin pada Grand Prix (GP) Motosikal Qatar, hujung minggu ini bagi mencerahkan peluangnya dinobatkan naib juara pendatang baharu terbaik.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu kini menghuni kedudukan ketiga untuk kategori tersebut selepas mengumpul 116 mata dengan 13 mata berjaya ditokok daripada GP Malaysia yang berakhir, minggu lalu.
Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo hampir pasti menerima anugerah pendatang baharu terbaik setelah mengutip 205 mata dan mengungguli kategori tersebut dengan hanya tiga perlumbaan berbaki musim ini.
Justeru, kedudukan naib juara masih terbuka dan pelumba Indonesia, Veda Pratama yang kini berada di tangga kedua selepas mengumpul 131 mata, masih mampu dikejar Hakim Danish yang hanya keciciran 15 mata.
Prestasi baik yang dipamerkan anak jati Terengganu itu menamatkan perlumbaan di tangga keempat di Sepang, diharap dapat dikekalkan pada GP Qatar.
Hakim Danish berkata, sasarannya pada GP Qatar adalah untuk mengulangi pendekatan yang sama seperti di GP Malaysia dengan hari pertama, dia mahu mendapatkan rentak dengan cepat dan cuba kekal tenang dalam apa jua keadaan.
“Saya rasa GP Malaysia memberikan banyak perkembangan positif kepada saya. Saya sudah mendapat perasaan yang lebih baik dan mampu bersaing dalam kelompok hadapan. Jadi, saya berharap dapat mengekalkan perasaan dan prestasi yang sama di Qatar nanti,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Menurut pelumba berusia 19 tahun itu, dari segi jentera, pasukannya masih menggunakan motosikal yang sama dan tiada perubahan besar dilakukan.
Jelasnya, kali terakhir dia beraksi di sana pada 2022 dan keistimewaan trek tersebut adalah selekoh berkelajuan tinggi yang menjadi kegemarannya dan litar itu juga tidak mempunyai banyak selekoh jenis ‘stop and go’. – UTUSAN











