SHAH ALAM: Pembersihan sebahagian kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah yang dinyahwarta sejak 26 tahun lalu didakwa menyebabkan penyerapan hujan di tengah bandar raya ini semakin merosot.
Keadaan itu menyebabkan limpahannya tidak lagi mampu ditampung longkang dan sungai berhampiran sedia ada.
Akibat daripada situasi tersebut, mutakhir ini banjir kilat yang berlaku di Shah Alam kerap kali dilaporkan terutama di kawasan yang berhampiran dengan kawasan hutan berkenaan seperti di Bukit Jelutong, Denai Alam, Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, Sungai Buloh dan Ijok.
Walaupun terdapat penambahbaikan pengurusan saliran longkang dan kolam tadahan di kawasan-kawasan hutan yang dibersihkan itu, langkah tersebut didakwa hanya menyelesaikan masalah banjir kilat di lokasi tertentu dan tidak secara menyeluruh.
Pengerusi Persatuan Penduduk Greenhill Residence di Persiaran Mokhtar Dahari, Mohamad Zailani Johari berkata, beliau dan penduduk melihat pembersihan hutan begitu rancak dilakukan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini di sepanjang jalan tersebut.
Malah, katanya aktiviti tersebut menyebabkan kejadian banjir kilat kerap kali berlaku akibat limpahan air susulan hujan lebat dalam tempoh singkat di lokasi berhampiran kawasan-kawasan yang dibersihkan.
“Cuma sekarang sudah berkurangan selepas pihak berkuasa mengambil tindakan seperti menyelenggara saliran, kolam tadahan dan sebagainya.
“Dahulu, antara kawasan yang kerap kali berlaku banjir kilat adalah di jalan raya berhampiran di kawasan perindustrian sebelah Greenhill Residence dan persimpangan lampu isyarat Kampung Budiman.
“Walaupun sudah kurang, tetapi banyak laporan diterima berlaku di kawasan lain pula yang terletak berhampiran dengan Hutan Simpan Bukit Cherakah. Sekarang musim hujan memang isu itu akan timbul.
“Apabila kawasan hutan dibersihkan, tiada lagi tempat tadahan hujan. Limpahan hujan mengalir terus ke dalam longkang kemudian sungai dan akhirnya tidak lagi mampu menampung air menyebabkan lebihannya melimpah ke jalan raya dan rumah,” katanya semalam.
Jelas Mohamad Zailani, beliau dan penduduk pastinya tidak menolak pembangunan kerana ia perlu bagi keperluan ekonomi namun pihak berkuasa perlu memantau secara rapat dan tidak bergantung kepada aduan awam semata-mata.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Rentak Perdana di Bandar Puncak Alam, Ahmad Hosni Mubara menegaskan, kawasan sungai di Sungai Buloh sepanjang hampir 40 kilometer dari Kampung Paya Jaras, Kampung Baru Sungai Buloh dan Kawasan Perindustrian Sungai Buloh ke Ijok, Kuala Selangor wajar dinaik taraf atau diselenggara.
Katanya, sungai tersebut perlu didalamkan dan tebingnya dibina semula supaya ia mampu menampung aliran limpahan air daripada hujan lebat seperti mana dilakukan di Sungai Klang.
Gesaan tersebut dinyatakan apabila sungai itu merentasi kawasan berkepadatan tinggi atau banyak perumahan seperti di Merbau Sempak, Saujana Utama, Saujana Aman, Desa Coalfields, Bandar Puncak Alam dan Ijok.
“Kemusnahan hutan di Bukit Cherakah dilihat turut mencetuskan limpahan hujan masuk ke Sungai Buloh di sekitar Denai Alam atau Elmina, yang sebelum itu sudah pun dilimpahi aliran dari Kampung Paya Jaras dan kawasan lain di bahagian hulu.
“Keadaan itu menyebabkan banjir teruk di bahagian hilir seperti di Saujana Aman, Kampung Seri Sentosa berhampiran Desa Coalfields dan Kampung Ijok di Ijok. Sedangkan ketika itu mungkin hujan turun dalam masa yang singkat di kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN











