PETALING JAYA: Malaysia muncul sebagai pasaran paling aktif di Asia Tenggara apabila merekodkan 38 penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) dengan kutipan dana berjumlah AS$1.62 bilion (RM7.6 bilion) dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, mengatasi prestasi negara lain di rantau ini ketika aktiviti pasaran IPO serantau menunjukkan penyusutan.
Pencapaian itu menyaksikan kutipan dana IPO di Malaysia meningkat 63.7 peratus berbanding AS$992 juta dalam tempoh sama tahun lalu, walaupun jumlah syarikat yang disenaraikan hanya bertambah satu kepada 38 berbanding 37 pada 2025.
Ernst & Young (EY) dalam laporan EY Global IPO Trends: Q3 2026 berkata, peningkatan itu mencerminkan minat pelabur yang berterusan terhadap syarikat berkualiti dengan prospek pertumbuhan yang meyakinkan, sekali gus memperlihatkan peranan pasaran modal dalam menyediakan akses pembiayaan kepada syarikat untuk mengembangkan perniagaan.
Momentum berkenaan turut berterusan pada suku ketiga tahun ini apabila Malaysia merekodkan sembilan IPO dengan kutipan AS$167.2 juta berbanding lapan IPO bernilai AS$94 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pasaran Modal EY PLT, Nghia Trung Nguyen berkata, Malaysia menunjukkan prestasi memberangsangkan di Asia Tenggara apabila jumlah penyenaraian dan kutipan dana dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini mengatasi pencapaian tempoh sama tahun lalu.
Katanya, peningkatan kutipan dana itu menunjukkan pelabur masih mempunyai minat terhadap syarikat berkualiti yang menawarkan prospek pertumbuhan meyakinkan.
“Momentum itu turut mencerminkan peranan pasaran modal dalam menyokong syarikat memasuki fasa pertumbuhan seterusnya menerusi akses kepada pembiayaan, selain meluaskan asas pelabur dan meningkatkan profil pasaran.
“Bagaimanapun, dalam persekitaran global yang tidak menentu, syarikat yang merancang penyenaraian perlu membuat persediaan rapi serta mempunyai jangkaan realistik terhadap masa sesuai memasuki pasaran dan kehendak pelabur.
“Ketika pelabur semakin selektif, naratif ekuiti yang kukuh, disokong asas perniagaan yang mantap, tadbir urus baik dan strategi pertumbuhan jelas akan terus menjadi faktor penting bagi memastikan kejayaan IPO serta mengekalkan keyakinan pelabur selepas penyenaraian,” katanya.
Sementara itu, laporan sama menunjukkan pasaran IPO Asia Tenggara secara keseluruhan merekodkan 56 penyenaraian dengan kutipan AS$3 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, masing-masing merosot 26 peratus dari segi jumlah transaksi dan 13 peratus dari segi nilai kutipan dana berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pada suku ketiga sahaja, rantau itu merekodkan 20 IPO bernilai AS$500 juta berbanding 26 IPO yang mengumpul AS$2.1 bilion dalam tempoh sama 2025.
Selain Malaysia, Singapura merekodkan lapan IPO bernilai AS$1.28 bilion, manakala Indonesia mencatatkan tujuh penyenaraian bernilai AS$121.3 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Thailand pula merekodkan tiga IPO bernilai AS$21.3 juta, menunjukkan aktiviti penyenaraian di negara berkenaan turut menguncup berbanding tahun lalu.
Ketua IPO EY Asean, Chan Yew Kiang berkata, sentimen penyenaraian di rantau ini sebelum ini terjejas susulan pembaharuan kawal selia, prospek ekonomi yang sederhana serta konflik berterusan di Asia Barat.
Katanya, prestasi saham yang kurang memberangsangkan selepas IPO turut mencerminkan sentimen pelabur yang berhati-hati, manakala kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) turut memberi kesan kepada transaksi penyenaraian di rantau Asean.
“Faktor itu menyebabkan jumlah transaksi IPO di kebanyakan pasaran Asia Tenggara pada suku ketiga tahun ini lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan Malaysia menjadi pengecualian.
“Pembaharuan peraturan di Amerika Syarikat dan China juga berpotensi membuka peluang kepada lebih banyak penyenaraian rentas sempadan di Asia Tenggara, meskipun proses berkenaan boleh mengambil masa dan lebih kompleks,” katanya.
Tambahnya, penyenaraian dwi di pasaran berbeza turut boleh menjadi pilihan syarikat untuk meluaskan asas pelabur antarabangsa dan meningkatkan keterlihatan mereka dalam pasaran global.-UTUSAN











