BARCELONA: Cristiano Ronaldo mengumumkan hasrat untuk bersara daripada skuad kebangsaan Portugal menerusi hantaran di media sosial, hari ini, sekali gus menamatkan karier antarabangsa yang dianggap antara paling gemilang dalam sejarah bola sepak.
Penyerang berusia 41 tahun itu berkata, dia akan menyerahkan kembali jersi nombor tujuh selepas tamat rehat antarabangsa November ini.
Ronaldo mengetuai Portugal meraih trofi utama pertama negara itu menerusi kejayaan Euro 2016, selain membantu pasukan menjuarai Liga Negara-Negara UEFA pada 2019 dan 2025.
“Ini bukan keputusan mudah kerana ada keputusan yang tidak dibuat hanya berdasarkan fikiran, tetapi juga dengan hati
“Jika saya pernah membuat anda gembira, jika salah satu gol saya pernah membuat anda memeluk seseorang, melupakan kerisauan atau berasa bangga dengan negara kita, maka semuanya berbaloi,” katanya.
Ronaldo turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakyat Portugal serta rakan sepasukan, jurulatih dan kakitangan yang bersamanya sepanjang 23 tahun menyarung jersi kebangsaan.
“Portugal akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya,” katanya.
Sepanjang karier antarabangsa, Ronaldo merekodkan 234 penampilan bersama Portugal dengan 146 gol, sekali gus memegang rekod penampilan dan jaringan terbanyak di pentas antarabangsa. – AGENSI











