PETALING JAYA: Juara Terbuka Perancis, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mara ke suku akhir selepas mengetepikan wakil Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh pada peringkat 16 terbaik Terbuka Korea di Yeosu, Korea Selatan, hari ini.
Pasangan yang kini melonjak ke ranking No. 9 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas beregu ke-32 dunia itu 24-22, 21-12 dalam masa 33 minit.
Kemenangan tersebut merupakan kali kedua dicatat Wei Chong-Kai Wun ke atas Zhi Ray-Yu Chieh selepas berbuat demikian di Terbuka Singapura, tahun lalu.
Pada suku akhir, esok, Wei Chong-Kai Wun akan turun beraksi menentang beregu kurang ternama Jepun, Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa yang berada di tangga ke-57 dunia.
Turut mengikut jejak langkah Wei Chong-Kai Wun, beregu profesional Malaysia, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi yang mengetepikan He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan dari Taiwan 21-9, 21-19 dalaam masa 28 minit.
Kajayaan itu membawa Wei Jie-Ee Yi kepada aksi suku akhir berdepan beregu No. 14 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun yang mengalahkan pasangan dua negara, Korea Selatan dan Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem 21-14, 19-21, 21-15 dalam masa 53 minit.
Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing menjadi wakil tunggal Malaysia mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Jin Sung Ik-Lee Seung Hee 21-8, 21-15 dalam masa 32 minit.
Pang Ron-Pei Jing yang mempamerkan prestasi konsisten sejak digandingkan bersama, Mei lalu sehingga berjaya mendaki ke tangga No. 15 dunia, perlu melepasi halangan beregu No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China jika berhajat menjejakkan kaki ke separuh akhir.
Nasib berbeza mengiringi satu lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Chan Wan Tse yang tewas mudah kepada pasangan No. 8 dunia, Cheng Xing-Zhang Chi dari China 7-21, 13-21 dalam masa 29 minit.
Pemain perseorangan wanita, K. Letshanaa juga ditunjukkan jalan keluar apabila tunduk kepada bintang No. 1 dunia, An Se Young dari Korea Selatan 10-21, 12-21 dalam masa 36 minit. – UTUSAN











