1,111 pesawah Kelantan terima manfaat takaful RM7.05 juta

1,111 pesawah Kelantan terima manfaat takaful RM7.05 juta

MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (empat dari kanan), bersama penerima manfaat Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 1,111 pesawah di Kelantan menerima manfaat Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) berjumlah RM7.05 juta bagi 2026, sekali gus membantu meringankan beban kewangan mereka susulan kerugian tanaman akibat bencana alam, serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.

Manfaat itu disalurkan kepada pesawah di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Jabatan Pertanian (DOA) Kelantan dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kelantan.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM5.85 juta disalurkan kepada 900 pesawah di bawah seliaan KADA, manakala RM1.03 juta membabitkan 182 pesawah di bawah DOA Kelantan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Baki RM168,914.85 pula disalurkan kepada 29 pesawah di bawah seliaan IADA Kelantan.

Penyaluran manfaat itu diketengahkan sempena Majlis Penyampaian Bantuan STTP 2026 bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Bendang Belukar, Kampung Kubang Bemban, Kelantan.

STTP yang diperkenalkan pada September 2024 menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan Agrobank menyediakan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar semusim bagi kerugian akibat bencana alam.

Skim itu turut menawarkan perlindungan sehingga RM1,500 sehektar semusim bagi kerugian akibat serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

Sumbangan takaful sebanyak RM60 sehektar bagi setiap musim ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, sekali gus membolehkan pesawah memperoleh perlindungan tanpa perlu menanggung kos caruman berkenaan.

Setakat 1 November lalu, Agrobank telah menyalurkan manfaat STTP berjumlah RM14.83 juta kepada pesawah di seluruh negara bagi tahun ini.

Sejak diperkenalkan, jumlah keseluruhan manfaat yang disalurkan menerusi skim itu mencecah RM56.92 juta, selain lebih 100,000 akaun Agrobank dibuka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, perlindungan kewangan bersesuaian penting bagi membantu pesawah menghadapi risiko yang boleh menjejaskan sumber pendapatan dan kelangsungan aktiviti penanaman padi.

Katanya, kerugian tanaman bukan sahaja menyebabkan kehilangan hasil bagi satu musim, malah turut memberi kesan kepada pendapatan keluarga serta kemampuan pesawah untuk kembali mengusahakan sawah.

“Justeru, manfaat takaful ini diharap dapat meringankan beban dan memberi sedikit kelegaan ketika mereka amat memerlukan sokongan,” katanya.

Beliau berkata, pembiayaan dan perlindungan takaful perlu bergerak seiring bagi membina sektor pertanian yang lebih berdaya tahan, khususnya dalam membantu pesawah mengurus risiko kewangan di luar kawalan mereka.

Tambahnya, sebagai institusi kewangan pembangunan, Agrobank melihat perlindungan takaful sebagai pelengkap penting kepada pembiayaan pertanian bagi memperkukuh daya tahan kewangan golongan pesawah.-UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini