Draf CSA sama seperti perjanjian 2021, kenapa Pas persoal?

Draf CSA sama seperti perjanjian 2021, kenapa Pas persoal?

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan hadirin yang hadir pada MATEPM 2026 di UTeM, Durian Tunggal, Melaka. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Prinsip dan draf Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang dikemukakan Kerajaan Perpaduan adalah sama seperti perjanjian yang dimeterai ketika pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, draf itu mengguna pakai prinsip dan kandungan yang sama seperti cadangan terdahulu yang dikemukakan oleh Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, PN yang dianggotai Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) pernah mengemukakan serta memeterai perjanjian berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Yang keduanya, yang kemukakan (CSA) dulu itu parti dia. Datuk Seri Takiyuddin Hassan sekarang pertikai. Yang cadang itu dia bersama masa itu Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin) dan beberapa orang lain daripada kerajaan pada ketika itu. Dan kita guna draf yang sama untuk kemukakan.

“Jadi, aneh, betul di kalangan kalau ahli yang tak baca, tak fikir, ini jadi masalah. Sekali lagi saya sebut, siapa yang kemukakan kertas cadangan memorandum persefahaman (MoU) itu?

“Adalah PN yang dianggotai oleh Pas juga ketika itu dan Bersatu dan UMNO bersama PH. Kemudian kita meterai,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.

Tambah Anwar, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang disifatkannya sebagai seorang alim sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya apabila mengaitkan sesuatu perjanjian atau pendirian dengan istilah sedemikian.

“Tan Sri Hadi itu orang alim. Sepatutnya kenyataan dia lebih terkawal. Dia cuba jawab dia bukan tuju kepada saya. Tidak mengapa, tetapi untuk menghukum orang, kumpulan atau pendirian sebagai dajal, itu tidak kena.

“Ini masalahnya. Saya tidak fikir agama boleh dipermainkan seperti itu,” katanya.

Mengulas desakan Takiyuddin selaku Ketua Whip PN supaya kandungan CSA didedahkan kepada umum, Anwar berkata, beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk berbuat demikian.

Katanya, perkara itu akan dibawa kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang bertanggungjawab mengendalikan urusan berkenaan sebelum dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.

“Dia tidak rahsia. Prinsipnya sama seperti yang dulu. Saya tidak ada masalah.

“Nanti saya sampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah, dia yang bertanggungjawab dan saya tidak ada masalah. Boleh dedahkan.

“Prinsip dia sama dengan yang ditandatangani dulu. Bagaimanapun, esok mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan sampaikan kepada Datuk Seri Fadillah dan saya tidak ada keberatan untuk mendedahkannya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini