Proton S70 RS 2027 tampil identiti lebih sporty

Proton S70 RS 2027 tampil identiti lebih sporty

PROTON S70 RS 2027, membawa identiti lebih sporty menerusi penampilan reka bentuk baharu dan penambahbaikan ciri terpilih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton memperkenalkan nama rasmi sedan versi dipertingkatkan terbaharunya, Proton S70 RS 2027, sekali gus membawa identiti lebih sporty menerusi penampilan reka bentuk baharu dan penambahbaikan ciri terpilih.

Pengenalan model berkenaan yang membawa maksud Refined Sportiness mencerminkan evolusi karakter sporty S70 menerusi reka bentuk lebih agresif, ruang kabin lebih menarik serta penambahbaikan dinamik pemanduan.

Model berkenaan dibangunkan berteraskan tema Performance with Style dengan mengekalkan DNA sporty S70 sedia ada, selain menawarkan penampilan lebih menonjol dalam segmen sedan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, S70 RS 2027 merupakan langkah seterusnya dalam memperkukuh kedudukan model itu sebagai sedan sporty pilihan rakyat Malaysia.

Katanya, gabungan reka bentuk lebih tersendiri, prestasi enjin turbo dan ruang kabin berorientasikan pemandu mencerminkan tema Performance with Style, tanpa mengetepikan aspek praktikal untuk kegunaan harian.

“Bagi memperkenalkan identiti baharu model itu, Proton akan mengadakan pertunjukan fesyen dengan kerjasama pereka fesyen tempatan terkenal pada 10 November ini, pukul 8 malam.

“Acara itu akan menggabungkan pendedahan model Proton S70 RS 2027 dengan pertunjukan fesyen berkonsepkan industri dan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi Proton,” katanya.

Dari aspek luaran, Proton S70 RS menampilkan gril dan bampar hadapan direka semula, aksen merah, skirt sisi sporty serta rim aloi 17 inci dengan angkup brek merah.

Bahagian belakang turut menerima perubahan menerusi bampar dan peresap udara baharu serta kemasan empat muncung ekzos yang memberikan imej lebih garang.

Ruang kabin pula menampilkan konsep dua tona dengan aksen merah, konsol tengah terapung dan pencahayaan ambien bagi mewujudkan suasana lebih moden serta berorientasikan pemandu.

Antara ciri tambahan ialah Commander Dial dan Automatic Column Shifter yang menawarkan kemudahan akses kepada kawalan kenderaan.

Dari segi prestasi, model itu dikuasakan enjin i-GT 1.5 liter pengecas turbo yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan (DCT), membolehkan pecutan dari sifar hingga 100 kilometer sejam dalam masa 7.5 saat.

Dalam perkembangan berkaitan, rangkaian Proton S70 terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran sedan tempatan apabila mencatatkan jualan sebanyak 5,367 unit pada Oktober lalu.

Daripada jumlah itu, varian S70 i-GT 1.5 Lite dan Prime yang diperkenalkan baru-baru ini merekodkan jualan 2,338 unit, sekali gus menerajui segmen sedan B.

Sementara itu, varian S70 berprestasi lebih tinggi mencatatkan jualan 3,029 unit bagi mengekalkan kedudukan dalam segmen sedan C.

Secara kumulatif, model S70 merekodkan jualan sebanyak 26,076 unit bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini