ECRL: Liputan internet perlu ditambah baik

ECRL: Liputan internet perlu ditambah baik

TEO Nie Ching (kiri) semasa menaiki tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ketika dalam perjalanan menuju ke Terengganu sempena lawatan kerja beliau. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG : Liputan internet 4G yang belum menyeluruh di beberapa lokasi sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) termasuk kawasan terowong akan ditambah baik menerusi kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Malaysia Rail Link (MRL) dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, hasil ujian kelajuan internet yang dijalankan MCMC terdapat beberapa kawasan sepanjang laluan ECRL dari Gombak, Selangor  hingga Kota Bharu, Kelantan belum mempunyai liputan internet atau mempunyai capaian kurang memuaskan.

Katanya, keadaan itu dikenal pasti menerusi ujian menggunakan peralatan MCMC Nexus yang turut melibatkan pemeriksaan di 16 stesen sepanjang laluan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“MCMC akan terus bekerjasama dengan MRL dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan liputan internet dapat disediakan dengan lebih baik demi kemudahan penumpang apabila perkhidmatan ECRL mula beroperasi pada 12 Disember ini.

“MRL telah melantik syarikat telekomunikasi untuk menaik taraf liputan internet dan pihak berkenaan juga sudah membentangkan perancangan untuk membangunkan infrastruktur telekomunikasi termasuk penambahan peralatan.

“Usaha ini akan mengambil sedikit masa, namun saya percaya menerusi kerjasama berterusan MRL dan syarikat terbabit, liputan internet dapat ditambah baik,” katanya selepas menghadiri Taklimat Projek Laluan Rel Pantai Timur oleh MRL dan pembentangan laporan ujian kelajuan internet di dalam ECRL oleh MCMC di Stesen ECRL Kuala Terengganu, di sini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Bagaimanapun, Nie Ching berkata, masih terdapat beberapa lokasi seperti kawasan terowong yang belum mempunyai liputan internet dan perkara itu akan terus diberi perhatian oleh MCMC bersama penyedia perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan menaiki ECRL dari Gombak ke Kuala Terengganu yang mengambil masa hanya dua jam 50 minit sebagai satu pengalaman cukup selesa dan membuktikan kelebihan perkhidmatan tren berkenaan.

Menurutnya, tempoh perjalanan itu jauh lebih singkat berbanding perjalanan menggunakan kereta yang boleh mengambil masa sehingga enam jam.

“Semalam, seorang pegawai saya pulang ke kampung di Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur dengan kereta dan mengambil masa enam jam. Namun, hari ini kita menaiki ECRL dari Gombak ke Kuala Terengganu dalam tempoh tidak sampai tiga jam. Saya percaya pilihan ini sangat baik dan penting untuk semua penumpang,” katanya.

Beliau berkata, projek mega itu bakal menjadi pemangkin integrasi wilayah dengan menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur menerusi sistem pengangkutan yang lebih pantas, moden, selamat serta inklusif.

Katanya, tren elektrik ECRL itu bakal mengoperasikan 11 set Electric Multiple Unit (EMU) yang mampu membawa sehingga 425 penumpang bagi setiap perjalanan dengan kelajuan maksimum 160 kilometer sejam.

Menurutnya, kemudahan dalam tren berkenaan turut dilengkapi ruang solat, tempat duduk fleksibel yang boleh diputar sehingga 180 darjah, kemudahan pengecasan serta kaunter jualan makanan dan minuman.

“Tren ini juga menyediakan kemudahan mesra pengguna bagi memastikan keselesaan penumpang daripada pelbagai golongan. Saya difahamkan perkhidmatan ini akan memulakan operasi rasmi pada 12 Disember ini dan penjualan tiket akan dibuka tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini