MANILA: Cuaca ekstrem yang melanda beberapa negara di Asia Timur sejak beberapa bulan kebelakangan ini mengorbankan puluhan nyawa, menyebabkan lapangan terbang utama ditutup serta memusnahkan tanaman dan infrastruktur.
Keadaan cuaca buruk itu turut menjejaskan kawasan pesisir Filipina, Taiwan, China dan Jepun yang sememangnya sering berdepan fenomena berkenaan.
Gelombang ribut kuat dan sukar diramal itu dipercayai diburukkan lagi oleh corak cuaca El Niño.
Pada Oktober lalu, hampir seluruh Taiwan menghentikan operasi apabila Taufan Champi yang cukup besar untuk meliputi pulau berpenduduk 23 juta orang itu bergerak menuju pantai timur laut negara berkenaan.
Taufan itu yang setara dengan kategori lima membawa angin selaju 295 kilometer sejam, berupaya meranapkan kediaman serta mencetuskan ombak besar yang boleh mengakibatkan kemusnahan.
Bagaimanapun, taufan berkenaan tidak mendarat di Taiwan, sebaliknya bergerak melepasi pulau itu sambil membawa hujan lebat.
Namun, kesannya turut dirasai di beberapa kawasan lain apabila ratusan penerbangan di Hong Kong, Taiwan dan Jepun dibatalkan.
Di kepulauan Batanes, Filipina, lebuh raya di kawasan pesisir terpaksa ditutup selepas ombak besar menghempas pantai.
Sementara itu, kira-kira 15,000 kediaman di kepulauan Okinawa, selatan Jepun, terputus bekalan elektrik akibat cuaca buruk berkenaan.
Fenomena El Niño merupakan kejadian iklim semula jadi apabila pengumpulan air laut panas di bahagian timur Lautan Pasifik serta perubahan corak angin mencetuskan kejadian cuaca ekstrem di seluruh dunia.
Fenomena itu berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan lazimnya berterusan selama kira-kira setahun. El Niño tahun ini yang diramalkan Pejabat Meteorologi United Kingdom (Met Office) sebagai paling kuat dalam tempoh yang masih diingati, dijangka berlanjutan sehingga Februari atau Mac.
Pada Jun lalu, Jepun berdepan dua ribut, iaitu Taufan Mekkhala dan Ribut Tropika Kuat Higos, yang bergerak serentak menuju pantai timur negara itu sehingga memaksa kira-kira sejuta penduduk berpindah.
Julai pula, Ribut Tropika Narra melanda kawasan pesisir selatan China di wilayah Guangxi, menyebabkan beberapa kampung ditenggelami air dan puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah.
Ogos lalu, Taufan Super Dolphin melanda kawasan Lautan Pasifik selama 16 hari sebelum membadai timur China, mencetuskan banjir besar dan mengorbankan puluhan nyawa.
Pada penghujung bulan sama, Taufan Saudel melanda tiga bandar di tenggara China dalam tempoh seminggu, menyebabkan rangkaian pengangkutan terpaksa ditutup dan ribuan penduduk dipindahkan.
Menurut ukuran Tenaga Siklon Terkumpul (ACE) yang mengukur jumlah intensiti ribut sepanjang sesuatu musim, Lautan Pasifik yang mencatatkan suhu tertinggi susulan fenomena El Niño kini mempunyai potensi tenaga yang tinggi untuk pembentukan taufan.
Bacaan ACE bagi Asia Tenggara dan Asia Timur tahun ini diramalkan hampir dua kali ganda berbanding purata 30 tahun.
El Nino turut mempengaruhi corak angin dan dalam keadaan ini, taufan cenderung terbentuk lebih jauh ke timur berbanding kebiasaan. Taufan juga menjadi lebih kuat apabila berada lebih lama di kawasan perairan panas.- BBC











