WASHINGTON: Ketika ancaman berkaitan Iran semakin meningkat di Asia Barat, tentera Amerika Syarikat (AS) secara senyap mengurangkan kehadiran anggotanya di rantau itu sejak beberapa hari lalu.
Menurut seorang pegawai AS dan seorang pegawai kanan tentera negara itu kepada CBS News pada Rabu, pengunduran itu dilakukan susulan ancaman berterusan daripada Houthi di rantau tersebut serta ancaman langsung daripada Iran.
Memetik pegawai kanan, termasuk dari Jabatan Pertahanan AS, CBS News melaporkan pada 21 Oktober bahawa tentera Amerika sedang mengurangkan penempatan tenteranya di beberapa lokasi di Asia Barat susulan ancaman yang semakin meningkat itu.
Pergerakan pengunduran itu berlaku ketika komander kanan tentera mengemukakan beberapa pilihan kepada Presiden AS, Donald Trump untuk melancarkan semula serangan terhadap sasaran di Iran.
Ketika menjawab pertanyaan CBS, jurucakap Markas Pusat AS (CENTCOM), Tim Hawkins memberikan kenyataan dengan berkata: “Kami secara berkala memindahkan anggota dan aset tentera AS bagi mengoptimumkan kesiapsiagaan misi kami.”
“Atas sebab keselamatan operasi, kami tidak membincangkan pergerakan khusus, tetapi tentera AS kekal berwaspada dan bersedia untuk melindungi Amerika serta kepentingan negara itu di seluruh rantau berkenaan.”
Pengunduran anggota tentera itu turut berlaku ketika Trump mempertimbangkan pilihan untuk menyerang Iran bulan depan.
The New York Times melaporkan bahawa tentera AS dan Israel telah merangka pelan khusus untuk menyambung semula serangan terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada November dalam operasi yang menurut akhbar itu akan berlangsung singkat tetapi intensif.
AS dilaporkan mempunyai lebih 50,000 askar dengan sebahagian besar anggota dan aset tentera ditempatkan di beberapa pangkalan di Asia Barat.
Arab Saudi bulan ini berdepan serangan oleh Houthi dari Yaman hampir setiap hari yang disokong Iran, termasuk serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh yang mengorbankan paling ramai mangsa dalam tempoh beberapa tahun, ketika perang dengan kumpulan berkenaan semakin memuncak.
Pada Rabu, Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata, serpihan dron yang berjaya dipintas ketika menyasarkan sebuah kemudahan minyak mengorbankan dua orang dan mencederakan dua lagi.
Kementerian itu tidak menyatakan pihak yang melancarkan dron yang menyasarkan medan minyak Shaybah berhampiran sempadan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Terdahulu pada Rabu, pakatan diketuai Arab Saudi di Yaman melaporkan berjaya memintas enam dron.
Pada Jun, gencatan senjata selama empat tahun dalam perang saudara Yaman runtuh, sekali gus mencetuskan semula konflik yang bermula pada 2014.











