PUTRAJAYA: Fenomena El Nino yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga pertengahan 2027 dan diramal meningkat kepada kategori sangat kuat atau Super El Nino dari Oktober hingga Januari 2027 berpotensi meningkatkan risiko cuaca kering dan kebakaran.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan anomali suhu bagi fenomena itu berpotensi melebihi 2.0 darjah celsius.
Menurutnya, keadaan cuaca ekstrem berkenaan dijangka mempengaruhi taburan hujan dan suhu permukaan negara, termasuk ketika Monsun Timur Laut yang bermula pada penghujung Oktober ini.
“Fenomena cuaca ekstrem ini membawa impak rantaian yang ketara kepada taburan hujan dan suhu permukaan negara. MetMalaysia mengunjurkan bahawa Monsun Timur Laut yang bermula pada penghujung Oktober 2026 akan mencatatkan jumlah hujan yang berkurangan daripada nilai purata klimatologi, khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung, Perak dan Sabah,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan rekod fenomena Super El Nino 2015/2016, pengurangan taburan hujan boleh mencecah sehingga 30 peratus di Semenanjung Malaysia dan 45 peratus di Sabah.
Katanya, keadaan kering berpanjangan itu berpotensi meningkatkan risiko kebakaran hutan, tanah gambut dan jerebu rentas sempadan, selain memberi kesan kepada sektor pertanian serta bekalan air negara.
“Pengurangan taburan hujan dan fenomena gelombang haba yang ekstrem ini bakal menjadi pemangkin kepada krisis rantaian berskala besar.
“Suhu kering berpanjangan bukan sahaja meningkatkan risiko pembakaran hutan, tanah gambut dan jerebu rentas sempadan secara mendadak, malah ia turut mengancam kelangsungan sektor pertanian, krisis bekalan air di empangan, lonjakan permintaan tenaga elektrik, serta mendatangkan risiko strok haba kepada kesihatan awam,” katanya.
Arthur berkata, keadaan itu memerlukan kesiapsiagaan berterusan daripada agensi kerajaan, khususnya dalam pemantauan kualiti udara dan pencegahan kebakaran di kawasan berisiko tinggi.
Katanya, Bagi tempoh 3 Ogos hingga 16 Oktober, Jabatan Alam Sekitar mengambil 3,433 tindakan penguatkuasaan susulan 2,361 aduan pembakaran terbuka, termasuk pengeluaran arahan di lapangan, notis amaran dan kompaun serta tindakan mahkamah.
Dalam pada itu, orang ramai digesa mendapatkan bacaan kualiti udara melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), yang memantau enam pencemar utama termasuk PM2.5, PM10, ozon, nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan karbon monoksida.
Katanya, kerajaan akan terus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi cuaca kering dan risiko kebakaran, dengan perlindungan kesihatan serta kesejahteraan rakyat kekal sebagai keutamaan dalam menangani krisis jerebu.- UTUSAN











