KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mendedahkan kepada umum kandungan perjanjian CSA yang dimeterai bersama 13 Ahli Parlimen pembangkang pada 29 Oktober lalu sebagaimana memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 2021.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, MoU yang ditandatangani pada 13 September 2021 itu mengandungi peruntukan khusus mengenai keterbukaan dan kebertanggungjawaban tanpa sebarang kerahsiaan.
Katanya, perjanjian tersebut menetapkan bahawa keseluruhan kandungan MoU perlu didedahkan kepada umum, malah dokumen berkenaan telah disiarkan selepas dimeterai oleh kedua-dua pihak.
“Apa yang ingin saya tekankan adalah kandungan utama dalam perjanjian ini. Pertamanya, tidak ada kerahsiaan. Dalam Fasal 6, dinyatakan dengan jelas bahawa tiada kerahsiaan.
“Saya masih ingat, selepas MoU ini ditandatangani pada hari tersebut, kita terus menyiarkannya kepada umum. Namun, apa yang kita ingin tahu ialah sama ada MoU atau CSA yang ditandatangani pada 31 Oktober baru-baru ini telah didedahkan kepada umum” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Media Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pihak pembangkang turut menuntut penjelasan mengenai jumlah peruntukan yang diberikan kepada 13 Ahli Parlimen terbabit menerusi CSA terbaharu.
“Berapa jumlah peruntukan yang diberikan? Bagaimana kaedah pemberiannya? Bagaimana pula dengan pelaksanaannya dan bilakah ia akan dilaksanakan?” soalnya.
Sebagai rekod, MoU 2021 itu ditandatangani oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi pihak kerajaan, manakala PH diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.-UTUSAN










