MELAKA: Meskipun belum bergelar wakil rakyat, dua wakil MCA yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir dan Kota Laksamana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 sudah terbiasa menguruskan aduan penduduk dan isu setempat.
Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Kota Laksamana, Melvin Chua Kew Wei dan Jasmine Lok Huey Yee di Bandar Hilir sudah berkhidmat sekurang-kurangnya dua penggal sebagai Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong berkata, berbekalkan kualiti perkhidmatan dan pengalaman mereka, peluang BN untuk menembusi dua kubu kuat DAP itu bukanlah sesuatu yang mustahil.
“Ahli majlis bukan hanya turun padang ketika pilihan raya, sebaliknya mereka berurusan dengan penduduk setiap hari dan perlu membantu menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.
“Saya juga memberikan tugasan kepada mereka berkaitan isu yang disuarakan persatuan dan penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN DUN Klebang di sini.
Beliau yang juga calon BN DUN Klebang berkata, tidak semua aduan dapat diselesaikan dalam tempoh singkat, namun perkara penting ialah ahli majlis perlu bertanggungjawab serta memaklumkan perkembangan tindakan kepada pengadu.
Katanya, pengalaman dan rekod perkhidmatan kedua-dua calon itu wajar dinilai pengundi sebelum membuat keputusan pada hari pengundian 14 November ini.
“Justeru, saya menyeru pengundi di kedua-dua kawasan berkenaan memberi peluang kepada calon BN daripada MCA untuk membawa pembaharuan dan memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat setempat,” katanya.
Di Bandar Hilir, BN berdepan saingan tiga penjuru dengan penyandang kerusi, Leng Chau Yen dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr. Mohd. Nor Rashidi Ab. Jalil.
Untuk kerusi Kota Laksamana pula, Melvin ditentang calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang, Low Chee Leong dan calon Bersama, Ethan Lim Zhi Hao.
Ban Hong berkata, pengalaman itu memberi pendedahan kepada kedua-dua calon mengenai pelbagai isu dan keperluan penduduk, berikutan tugas ahli majlis yang berdepan aduan harian.
“Aduan berkenaan antaranya membabitkan masalah longkang tersumbat, semak samun, rumput panjang, jalan rosak, sampah dan lampu jalan, selain isu berkaitan lesen perniagaan,” katanya. – UTUSAN











