Jamil Khir cabar pertuduhan lupus aset TH RM860.3 juta

Jamil Khir cabar pertuduhan lupus aset TH RM860.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan memfailkan permohonan bagi mencabar tiga pertuduhan berkait Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Ia berhubung menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan wang RM860,308,770.51 di antara antara 2015 hingga 2017.

Perkara itu dimaklumkan peguam bela, Datuk Hamidi Mohd Noh yang mewakili Jamil Khir, 65, pada prosiding sebutan kes itu di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pihak pembelaan akan memfailkan beberapa permohonan termasuk mencabar pertuduhan yang dihadapi anak guamnya itu.

“Kami akan memfailkan beberapa permohonan termasuk berkaitan pasport selepas meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan,” katanya.

Tambah Hamidi, turut timbul kebimbangan berhubung pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh orang awam di media sosial yang dikhuatiri boleh mengundang subjudis serta mengganggu prosiding perbicaraan kes berkenaan.

Katanya, orang ramai perlu memahami kes itu sedang dibicarakan dan sebarang keputusan tertakluk kepada mahkamah, bukannya spekulasi media sosial.

“Pihak kami telah mengidentifikasi akaun yang berpotensi untuk dibawa ke mahkamah untuk dirujuk kepada perkara subjudis yang boleh membawa kepada prosiding penghinaan mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd. Latip memaklumkan bahawa satu jilid dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Bagaimanapun, pihaknya masih memerlukan masa untuk menyerahkan baki dokumen lain termasuk rekod perbankan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi serahan dokumen lanjut pada 14 Januari ini.

Pada 14 September lalu, Jamil Khir yang juga bekas Ahli Parlimen Jerai mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan melupuskan aset TH berjumlah RM860.3 juta.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyebabkan Lembaga TH melupuskan harta miliknya iaitu wang RM42,942,074 bersamaan SAR44.170 juta, RM288,172,134.64 (SAR250,041,622) dan RM529,194,561.87 (SAR471,848,615) kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini