Kerajaan teliti pendekatan lebih tersusun bantu PKS berkembang

Kerajaan teliti pendekatan lebih tersusun bantu PKS berkembang

FADILLAH Yusof (depan, tengah) selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Pemasaran Dunia (WMS) 2026 di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia meneliti cadangan mewujudkan pendekatan lebih tersusun bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berada pada peringkat pertumbuhan, khususnya dalam memperkukuh keupayaan perniagaan untuk menembusi pasaran lebih besar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan melalui perbincangan konstruktif bersama kementerian, agensi berkaitan dan pemain industri.

Katanya, sebarang pendekatan yang dicadangkan perlu dinilai secara teliti dengan mengambil kira inisiatif sedia ada serta keperluan sebenar perniagaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara itu penting bagi memastikan bentuk sokongan yang disediakan bersesuaian dengan cabaran dan keperluan PKS untuk berkembang secara mampan.

“Pada masa sama, kita perlu mendengar pandangan usahawan sendiri kerana mereka yang membina perniagaan, mengharungi ketidaktentuan dan mengatasi pelbagai cabaran lebih memahami bentuk sokongan yang mampu memberikan kesan terbesar.

“Dasar yang baik bukan sahaja perlu dibentuk berdasarkan apa yang kita percaya diperlukan oleh perniagaan, tetapi turut mengambil kira realiti yang dihadapi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Sidang Kemuncak Pemasaran Dunia (WMS) 2026 di sini hari ini. 

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Kotler Impact, Sadia Kibria; Presiden Kotler Impact Asia merangkap Presiden dan Pengasas ANNEMS Group of Companies serta Pengerusi Penganjur WMS 2026, Datuk Dr. Faridah Hanim Haron dan Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pertumbuhan sesebuah perusahaan bukan sekadar diukur berdasarkan peningkatan saiz perniagaan, sebaliknya turut mengambil kira manfaat yang dapat disumbangkan kepada masyarakat.

Katanya, perkembangan sesebuah perusahaan mampu membuka peluang pekerjaan pertama kepada golongan muda, memberikan jaminan pendapatan lebih baik kepada pembekal tempatan serta mewujudkan kerjaya yang bermakna dalam komuniti.

“Justeru, sokongan terhadap pertumbuhan PKS perlu mengambil kira keupayaan perusahaan membangunkan tenaga kerja, sistem operasi dan kedudukan kewangan bagi merebut peluang perniagaan baharu.

“Pada masa sama, perusahaan juga perlu diberikan ruang untuk bersaing dalam pasaran lebih besar tanpa menjejaskan kualiti produk serta perkhidmatan yang menjadi asas kepercayaan pelanggan,” katanya. 

Menyentuh penggunaan teknologi, Fadillah berkata, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu menawarkan peluang kepada PKS untuk meningkatkan kecekapan, inovasi serta daya saing, namun penerapannya perlu berasaskan keperluan sebenar perniagaan.

Beliau berkata, penggunaan teknologi tidak seharusnya dilakukan semata-mata kerana kemudahannya tersedia, sebaliknya perlu membantu menyelesaikan masalah dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

“Sebagai contoh, inovasi bagi perniagaan kecil tidak semestinya memerlukan teknologi paling canggih, sebaliknya boleh bermula dengan mengurangkan masa pekerja melaksanakan tugas pentadbiran berulang supaya lebih banyak masa dapat diberikan kepada pelanggan.

“Penggunaan AI tidak melepaskan pemimpin perniagaan daripada tanggungjawab membuat pertimbangan sewajarnya, menjaga integriti serta mengambil kira kesan keputusan terhadap kehidupan masyarakat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini