Minyak sawit ‘koktel’ boleh jejas pengeksport Malaysia - Utusan Malaysia

Minyak sawit ‘koktel’ boleh jejas pengeksport Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dakwaan minyak sawit import dicampurkan dengan bekalan tempatan sebelum dieksport semula sebagai produk Malaysia boleh menjejaskan pengeksport tempatan jika ia benar berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, amalan yang digelar minyak ‘koktel’ itu berisiko menjejaskan pematuhan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), selain menimbulkan persoalan mengenai asal usul, kualiti dan keselamatan produk.

Beliau berkata EUDR, yang menurutnya akan terpakai kepada pengusaha besar mulai 30 Dis ini, mewajibkan minyak sawit yang memasuki pasaran Kesatuan Eropah (EU) dapat dikesan sehingga ke kawasan tanah tempat ia dihasilkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika minyak asing yang tidak diketahui asal usulnya dicampurkan dengan minyak Malaysia, keseluruhan kargo berkenaan mungkin gagal memenuhi keperluan kebolehkesanan EUDR.

“Ini boleh menjejaskan pengeksport Malaysia yang tulen serta kredibiliti Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), ketika peraturan itu bakal berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Jeyenderan yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri maritim berkata pihak berkuasa perlu meneliti manifes kargo dan bil muatan (bill of lading) bagi mengesahkan negara asal minyak terbabit serta komposisi sebenar produk selepas dicampurkan.

Menurutnya, ujian makmal bebas juga perlu dijalankan bagi memastikan minyak import dan produk akhir memenuhi standard kualiti serta keselamatan makanan yang ditetapkan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada sampel minyak diuji sebelum kapal membawa kargo berkenaan meninggalkan perairan Malaysia, memandangkan kapal terbabit dipercayai tidak dilengkapi kemudahan makmal khusus atau mempunyai ahli kimia bertauliah.

“Bagaimanakah komposisi dan kualiti sebenar kargo itu boleh disahkan secara bebas tanpa ujian makmal yang sewajarnya?

“Isunya bukan sekadar mencampurkan pelbagai jenis minyak, tetapi juga sama ada asal usul dan komposisi produk akhir dapat dikenal pasti dengan tepat sebelum dieksport,” katanya.

Jeyenderan menegaskan sebarang kemungkinan pencemaran perlu disiasat melalui ujian saintifik, bukannya berdasarkan andaian, kerana ia turut membabitkan keselamatan pengguna.

“Jika minyak itu tercemar, apakah kesannya terhadap kesihatan awam? Siapakah yang bertanggungjawab memastikan produk akhir itu selamat untuk dimakan?” katanya.

Beliau turut merujuk piawaian antarabangsa Codex Alimentarius yang menetapkan negara asal produk makanan perlu diisytiharkan sekiranya kegagalan berbuat demikian boleh mengelirukan pengguna.

Menurutnya, sekadar mencampurkan minyak import dengan minyak tempatan tidak mengubah sifat asal produk, justeru melabelkan campuran itu sebagai keluaran Malaysia sepenuhnya boleh mengelirukan pembeli.

Dalam aspek pengujian pula, beliau berkata kontrak perdagangan minyak sawit antarabangsa di bawah FOSFA International, termasuk Kontrak FOSFA No. 81 yang dikeluarkan bersama Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM), menetapkan keperluan analisis bebas oleh juruukur bertauliah.

Sehubungan itu, Jeyenderan menggesa pihak berkuasa menjelaskan prosedur pengimportan, pencampuran, pengambilan sampel, pensijilan kualiti dan pengeksportan semula minyak berkenaan, termasuk agensi yang bertanggungjawab memantau setiap proses.

Katanya, dokumentasi lengkap serta ujian makmal bebas penting bagi memastikan produk yang dieksport mematuhi standard ditetapkan, selain mengelakkan keyakinan pembeli luar negara terhadap minyak sawit Malaysia terjejas.

Semalam, The Edge melaporkan dakwaan sumber industri bahawa minyak sawit import dicampurkan dengan bekalan tempatan sebelum dieksport semula, dengan nisbah 75:25 atau 80:20 disebut-sebut dalam pasaran.

Sumber itu berkata amalan berkenaan, jika benar berlaku, berpotensi menyebabkan minyak sawit dari luar negara dipasarkan sebagai produk Malaysia, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap jenama minyak sawit tempatan dan pensijilan MSPO.

Bagaimanapun, dakwaan pencampuran itu belum dapat disahkan berdasarkan maklumat pasaran semata-mata dan memerlukan pemeriksaan pihak berkuasa.

Sumber industri terbabit turut menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyemak rekod import serta asal usul minyak terbabit bagi menentukan kesahihan dakwaan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini