BRUSSELS: Jet-jet pejuang Itali, Perancis dan Bulgaria dikerahkan pada Khamis selepas sekurang-kurangnya 14 penerbangan di Eropah menjadi sasaran amaran bom palsu bagi hari ketiga minggu ini, menurut pihak berkuasa dan syarikat penerbangan.
Ancaman palsu itu khususnya menyasarkan syarikat penerbangan tambang rendah dan penerbangan ke atau dari Bulgaria, Republik Czech serta Itali.
Jet Tentera Udara Itali mengiringi penerbangan Finnair dari Helsinki ke Rom, manakala jet pejuang Perancis mengiringi penerbangan Aer Lingus dari Dublin ke Rom ke sebuah pangkalan tentera di luar Paris.
Tentera Udara Bulgaria pula mengiringi tiga pesawat yang menjadi sasaran ancaman.
Secara keseluruhan, tiga penerbangan dilencongkan tetapi semua pesawat berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang bahan letupan ditemukan.
Lebih 20 ancaman bom palsu dilaporkan minggu ini, dengan syarikat penerbangan tambang rendah Ryanair menjadi sasaran sekurang-kurangnya tujuh ancaman. – AFP











