Tebatan banjir tangguh, penduduk bakal derita 30 tahun

Tebatan banjir tangguh, penduduk bakal derita 30 tahun

KERJA-kerja pembinaan tebatan banjir Sungai Golok di sebelah Thailand rancak berjalan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Penangguhan projek tebatan banjir Su­ngai Golok, di sini sehingga tahun hadapan membimbangkan lebih 20,000 penduduk yang mendakwa akan terus mende­rita menghadapi bencana banjir sehingga 30 tahun lagi.

Situasi itu mengecewakan ketika pembinaan tebatan banjir Sungai Golok di sebelah Thailand pula dilihat semakin rancak.

Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Banjir Kampung Tersang, Mohd. Ariffin Ismail berkata, kelewatan berterusan pembinaan projek itu menyebabkan penduduk terus terdedah kepada ancaman banjir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ia bukan sahaja melibatkan soal harta benda malah boleh mengancam keselamatan nyawa kerana situasi banjir yang melanda lebih 30 buah kampung berhampiran projek ini semakin sukar diramal.

“Apabila banjir besar, secara kasar sesebuah keluarga mengalami kerugian melebihi RM5,000 membabitkan kerosakan rumah, kenderaan, perabot, peti sejuk dan ternakan.

“Banjir besar yang melanda kawasan itu sejak 2022 termasuk pada Februari 2023 menyebabkan penduduk berulang kali menanggung kerugian tanpa mengetahui bila masalah berkenaan dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, pembinaan benteng tanpa penyediaan laluan air dan sistem pintu air yang mencukupi berisiko menyebabkan air bertakung, melimpah ke kawasan penempatan serta merosakkan tanaman dan harta benda penduduk.

“Jika benteng Sungai Golok dan benteng Sungai Lancang siap sekali pun tetapi laluan air tidak disediakan dengan sempurna, air melimpah dan boleh memecahkan tebing.

“Air perlu ada laluan untuk mengalir keluar. Kalau sungai penuh dan benteng menghalang aliran air, banjir merebak ke kawasan penduduk,” ujarnya.

Arifin berkata, penduduk mencadangkan supaya laluan air semula jadi di kawasan Kampung Lacang digali dan diperbesar bagi membolehkan air mengalir ke kawasan hilir termasuk Kampung Bongor sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan perumahan dan sawah padi.

Bagi penduduk, Mohd. Hirwan Che Rajiuon projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) perlu dipercepat kerana penangguhannya sehingga 2027 menyebabkan penduduk terus terdedah kepada risiko banjir.

Katanya, keadaan cuaca dan taburan hujan yang sukar diramal menyukarkan penduduk menjangkakan bila banjir akan berlaku, sekali gus meningkatkan risiko kerosakan harta benda dan sumber pendapatan.

“Kalau boleh, kerajaan percepatkan projek itu kerana penduduk mengalami kerugian, termasuk kehilangan harta benda, tanaman dan ternakan,” katanya.

Mohd. Hirwan berkata, keadaan banjir di kawasan berkenaan semakin membimbangkan sejak tahun lalu, terutama apabila pembinaan benteng di sebelah Thailand dilihat semakin rancak.

Katanya, terdapat kawasan di Thailand yang sudah dilengkapi benteng, menyebabkan beliau bimbang aliran air lebih banyak tertumpu ke sebelah Malaysia.

“Jika sebelum ini aliran air dirasakan lebih seimbang antara kedua-dua negara, keadaan kini didakwa berubah sehingga penduduk bimbang kawasan mereka akan ditenggelami air apabila paras sungai meningkat,” ujarnya.

Mohd. Hirwan berkata, dia dan penduduk setempat sentiasa memantau keadaan cuaca dan berpindah ke tempat lebih tinggi apabila paras air mula meningkat.

Katanya, barangan berharga, termasuk peti sejuk dan peralatan rumah, ke tempat selamat perlu dialihkan ke tempat tinggi lebih awal bagi mengelakkan kerugian lebih besar.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini