PETALING JAYA: Maritime Network Sdn Bhd menghantar surat tuntutan (LOD) kepada syarikat berpangkalan di Singapura, Olam Global Agri Pte Ltd, bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan pencampuran muatan minyak sawit dari Indonesia dan Malaysia sebelum dihantar ke Mesir.
Surat bertarikh 29 Oktober itu, yang diserahkan menerusi firma guaman Jaya Prem Chambers, turut mempertikaikan dakwaan bahawa Maritime Network mengetahui dan bersetuju dengan pengaturan muatan berkenaan sebelum tiga bil muatan (B/L) dikeluarkan pada 30 Sept 2026.
Menurut surat itu, Maritime Network dilantik sebagai ejen pelabuhan di Pelabuhan Klang dan menandatangani bil muatan bagi pihak nakhoda kapal.
Kapal terbabit sebelum itu membawa kira-kira 35,432 tan metrik produk minyak sawit dari Dumai, Indonesia, sebelum memuatkan tambahan 4,999.715 tan metrik olein sawit mentah dari Malaysia untuk dihantar ke Adabiya, Mesir.
Berdasarkan manifest eksport Indonesia, muatan dari negara itu diisytiharkan sebagai produk minyak sawit bertapis, termasuk olein sawit bertapis, minyak sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD), stearin sawit RBD serta minyak isirung sawit RBD.
Bagaimanapun, menurut Maritime Network, maklumat yang diterima kemudian menimbulkan persoalan sama ada olein sawit mentah dari Malaysia dicampurkan dengan muatan Indonesia, selain ketepatan gred produk yang diisytiharkan.
Surat itu menyatakan jenis, komposisi, masa dan tahap pencampuran yang didakwa berlaku masih belum dapat dipastikan.
Ia turut merujuk perbualan WhatsApp pada 16 Oktober apabila wakil Olam Global Agri didakwa menyatakan bahawa beliau pernah memaklumkan Maritime Network mengenai status muatan berkenaan sebagai minyak mentah.
Namun, Maritime Network mempertikaikan dakwaan bahawa pihaknya telah dimaklumkan lebih awal atau memberikan persetujuan berdasarkan maklumat mencukupi kerana tiada pemberitahuan bertulis atau bukti dokumentari dikemukakan.
Dalam e-mel bertarikh 19 dan 23 Oktober, Olam Global Agri dilaporkan menjelaskan bahawa pihaknya membeli muatan Malaysia daripada Mewah Oils Sdn Bhd mengikut terma serahan atas kapal (FOB), dan bukan sebagai pengeksport yang direkodkan.
Maritime Network berkata pembelian secara FOB tidak secara automatik menjadikan Olam Global Agri bertanggungjawab terhadap kewajipan berkanun pengeksport, namun penglibatannya dalam penyewaan kapal dan arahan berkaitan muatan perlu diperjelaskan.
Sehubungan itu, Maritime Network menuntut butiran komunikasi dan sebarang persetujuan yang didakwa diberikan, selain dokumen termasuk sijil kualiti, sijil analisis, pelan penyusunan muatan, rekod kuantiti, laporan juruukur serta komunikasi pihak berkaitan.
Surat itu turut merujuk Peraturan 12(3)(c) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Kualiti) 2005 berhubung pendedahan bahan dan komposisi produk minyak sawit campuran, jika terpakai.
Bagaimanapun, firma guaman berkenaan menegaskan bahawa belum ada kesimpulan mengenai sebarang pelanggaran peraturan dan perkara itu perlu dinilai pihak berkuasa berdasarkan bukti.
Olam Global Agri diberi tempoh tujuh hari selepas menerima surat tuntutan itu untuk mengemukakan bukti bahawa Maritime Network telah dimaklumkan lebih awal dan memberikan persetujuan, atau menarik balik dakwaan berkenaan jika gagal membuktikannya.
Maritime Network turut menuntut indemniti bagi tuntutan dan kerugian tertentu yang berpunca daripada tindakan Olam Global Agri, selain mengekalkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang.-UTUSAN











