MELAKA: Ahli politik yang mahu mengumpul kekayaan dinasihatkan supaya meninggalkan jawatan dalam kerajaan dan menceburi bidang lain, bukannya menggunakan kedudukan sebagai menteri untuk mendapatkan tanah, saham atau kontrak projek.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jawatan dalam kerajaan tidak sepatutnya dijadikan kesempatan untuk mengaut keuntungan peribadi sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.
Menurutnya, sesiapa yang mahu mencari keuntungan boleh berbuat demikian melalui perniagaan tetapi tidak boleh pada masa sama memegang jawatan menteri dan menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri.
“Mahu untung, mahu berniaga, berniagalah. Siapa mahu halang?
“Ini orang-orang politik kalau mahu kaya, suruh dia berhenti, buat bisnes. Kalau boleh untung, untunglah.
“Jangan mahu jadi menteri pun mahu jadi, sapu mahu sapu. Tak boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Harapan 2026 di sini malam tadi.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, seseorang pemimpin tidak semestinya mempunyai segala kepakaran kerana kelemahan dalam pentadbiran masih boleh diperbaiki melalui pembelajaran dan kesediaan mendengar pandangan orang lain.
Beliau menegaskan, kekurangan pengetahuan tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan penyelewengan atau mengambil harta rakyat.
“Kamu kata kita tak pandai, tak apa. Kita boleh belajar, kita boleh dengar. Tapi bukan kita sakau ambil harta orang.
“Bukan ambil tanah negeri, bukan ambil saham, bukan ambil kontrak nak projek. Jahanam ini negeri.
“Apa semua kita buat betul? Ada silap. Kalau silap kita tolong baiki. Tapi kita tak curi,” katanya. – UTUSAN











