NARATHIWAT (THAILAND): Aktiviti penjualan minyak petrol RON95 dan diesel yang diseludup dari Malaysia di wilayah ini ‘lumpuh’ apabila permintaan terhadap bahan bakar itu turun mendadak.
Lebih 100 gerai di sepanjang laluan Sungai Golok ke Tak Bai yang sebelum ini meriah dengan aktiviti itu mula menutup operasi.
Penurunan mendadak itu berpunca daripada penguatkuasaan berterusan pihak berkuasa Malaysia di sepanjang Sungai Golok yang menjadi pemisah sempadan antara kedua-dua negara selain peningkatan harga diesel di pasaran negara jiran.
Peniaga dikenali sebagai Kalsom, 55, menghentikan penjualan buat sementara waktu.
“Sejak minggu lalu, petrol seludup dijual pada harga 45 baht (RM5.50) seliter sedangkan di stesen minyak Thailand hanya sekitar 39.43 baht (RM5) seliter.
“Situasi ini menyebabkan pengguna memilih membeli bahan bakar yang lebih murah,” katanya.
Seorang lagi peniaga dikenali sebagai Norhayati, 33, mengakui jualan diesel seludup bukan lagi pilihan utama rakyat Thailand ketika ini.
Katanya, penduduk lebih cenderung mendapatkan bekalan di stesen minyak tempatan yang menawarkan harga lebih rendah.
“Harga diesel di Thailand kini sekitar 48.88 baht (RM6.11) seliter, berbanding RM6.72 seliter di Malaysia. Perbezaan harga ini menyebabkan rakyat Thailand memilih mengisi minyak di stesen tempatan kerana lebih murah dan mudah diperoleh,” katanya yang tidak lagi menjual diesel seludup sejak dua minggu lalu kerana kurang permintaan.
“Bekalan daripada penyeludup sentiasa ada, namun saya tidak berani mengambil risiko kerana diesel tidak laku,” katanya.
Jualan petrol seludup turut terjejas berikutan kenaikan harga bahan api dari Malaysia sedangkan petrol di Thailand dijual pada harga lebih kompetitif.
“Dulu saya mampu menjual sehingga 60 liter petrol seludup sehari tetapi kini seliter pun belum tentu terjual,” katanya.
Seorang penduduk tempatan, Yie, 30, berkata, rakyat Thailand kini beralih mengisi bahan bakar di stesen minyak kerana harga lebih murah berbanding diesel seludup.
Bagaimanapun dia tidak menjangkakan situasi itu bertahan berapa lama. – UTUSAN










