RANTAU PANJANG: Insiden letupan bom di Tak Bai, Thailand yang mencederakan dua warga Malaysia, Isnin lalu tidak menjejaskan rakyat negeri ini untuk terus berkunjung ke negara Gajah Putih walaupun dalam skala kecil.
Tinjauan Utusan Malaysia lebih dua jam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, bermula pukul 7.30 pagi semalam mendapati, suasana agak lengang walaupun pada hujung minggu.
Situasi itu jauh berbeza apabila setiap kali hujung minggu orang ramai kelihatan berpusu-pusu ke Thailand sekali gus menyaksikan kesesakan lebih satu kilometer untuk masuk ke negara jiran tersebut.
Bagaimanapun, pergerakan masuk rakyat Malaysia ke Thailand tetap berjalan dalam skala kecil meskipun kerajaan negeri dan pihak berkuasa memberikan peringatan supaya menangguhkan seketika perjalanan.
Pergerakan skala besar hanya melibatkan warganegara Thailand yang bekerja di Malaysia dan mahu pulang ke kampung halaman masing-masing selain mahu menyelesaikan urusan imigresen.
Seorang pelancong yang mahu dikenali sebagai Liza, 35, berkata, dia terpaksa meneruskan perjalanan ke Hat Yai, Thailand selepas menyelesaikan bayaran pakej untuk bercuti di negara jiran itu.
Katanya, walaupun perasaan takut menyelubungi susulan kejadian itu, dia berdoa semoga perjalanan pergi dan pulang seperti biasa.
“Hendak batalkan tempahan rasa rugi sebab semua bayaran termasuk kos pengangkutan serta penginapan sudah dibayar kepada pengendali perkhidmatan.
“Lagipun saya dan keluarga sudah membuat tempahan sejak sebulan lalu. Ini adalah kali ketiga saya bercuti di Hat Yai,” katanya.
Sementara itu, seorang pengendali motosikal tambang dikenali sebagai Mat, 45, mengakui suasana lengang di ICQS Rantau Panjang bermula sejak Selasa lalu.
Katanya, ia susulan insiden bom yang mencederakan dua rakyat Malaysia di Tak Bai.
“Biasa hari minggu bermula Jumaat, kami tidak menang tangan memenuhi permintaan penumpang untuk ke Thailand. Hari ini (Jumaat) kami lebih banyak berehat. Biasanya ia mengambil masa sebulan untuk pulih,” katanya.
Pada 29 Jun lalu, polis menasihatkan penduduk negeri ini menangguhkan sementara perjalanan ke selatan Thailand susulan dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan pelbagai guna (SUV) dinaiki mereka terkena letupan bom buatan sendiri (IED). – UTUSAN










