ALOR GAJAH: Kerjasama antara UMNO dengan Pas yang bermula secara rasmi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Ogos lalu merupakan cerminan persefahaman tanpa kesangsian berbanding era Muafakat Nasional (MN).
Di Melaka, Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO dan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Pas berjaya memasuki fasa gerak kerja bersama yang terancang, teratur dan lebih tersusun berbanding di Negeri Sembilan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kini kedua-dua pihak berkongsi matlamat serupa, sama ada dalam bentuk persefahaman politik, gerak kerja dan sasaran untuk memenangi pilihan raya.
Katanya, persefahaman itu dapat dilihat seawal BN mengumumkan akan mempertahankan 21 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Ujarnya, Pas menerima BN tanpa sebarang tuntutan dan ugutan justeru melambangkan proses pembahagian kerusi berakhir dengan keselesaan kedua-dua pihak.
“Kesangsian waktu ketika (MN) itu amat tinggi. Berbeza dengan sekarang. Sekarang ini kita berkongsi dengan matlamat yang sama. Dua kaedah berbeza. Dulu kita tak begini. Dulu kita bergabung selepas kita menang. Kali ni kita buat kerja sama untuk sama-sama menang.
“Dia (Pas) kita bagi tujuh kerusi dan tak nampak pun tuntutan ataupun ugutan untuk tidak bersama. Mereka menerima kerana apa yang dikatakan sebuah perjanjian adalah keselesaan kedua-dua pihak.
“Kalau dalam bahasa Inggeris, perjanjian ini ialah convenience of both parties. Kedua-dua bersetuju. Maka kita enter to the agreement,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Villa D’Acqua, Kampung Pulau di sini.
Dalam PRN kali ini, PN bertanding di lima kerusi meskipun rundingan kerusi memperuntukkan tujuh selepas mereka memulangkan kembali DUN Bandar Hilir dan Kota Laksamana kepada MCA.
Pas bertanding di dua kerusi iaitu Paya Rumput dan Bukit Katil, Parti Wawasan Negara (Wawasan) juga di dua kerusi iaitu Kesidang dan Bemban serta Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Ayer Keroh.
“Kita tidak berunding dengan Wawasan kerana Pas adalah merupakan satu parti induk dalam PN. Jadi kaedah, Wawasan ataupun parti gabungan mereka kita serahkan kepada kebijaksanaan Pas untuk berunding.
“Jadi saya mengalu-alukan apa juga keputusan kepada rakan kita kerana kita menghormati garis sempadan yang telah kita tentukan,” katanya.
Kerusi Sungai Udang ditandingi calon BN, Datuk Rais Yasin dengan pertukaran DUN Paya Rumput kepada Pas.-UTUSAN.











