Malaysia hab logistik dunia

Malaysia hab logistik dunia

ANWAR Ibrahim melihat replika Pusat Pengedaran Daiso sebelum merasmikannya di Taman Perindustrian Samudera, Pulau Indah, Klang, Selangor semalam.-BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Malaysia giat memper­luas infrastruktur pe­ngang­ku­tan­nya merentasi darat,­ laut, dan udara dalam usaha mengu­kuhkan kedudukan sebagai hab logistik bertaraf dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara mengecapi kemakmuran bukan hanya disebabkan kedudukan geografi strategik malah juga ke­rana kemampuan menghubungkan ekonomi di seluruh dunia.

“Selat Melaka telah menjadi laluan utama aliran perdagangan selama berabad-abad. Hasrat kami adalah untuk memperluas aliran ini merentasi darat, laut, dan udara bagi menjadikan Malaysia hab logistik bertaraf dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelabuhan Klang mencatatkan rekod pengendalian 15.1 juta unit setara dua puluh kaki (TEU) pada tahun lepas, sekali gus meletakkannya dalam kala­ngan se­puluh pelabuhan kontena pa­ling­ sibuk di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pengedaran Global (GDC) baharu Daiso di Pulau Indah di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Daiso Industries Co Ltd, Seiji Yano.

Sementara itu, Anwar berkata, keputusan Daiso untuk me­nubuhkan pusat pengedaran glo­bal terbesarnya di Pulau Indah menerusi pelaburan bernilai RM1.2 bilion itu merupakan tanda keyakinan yang kukuh terhadap kestabilan ekonomi, kese­diaan infrastruktur, serta potensi jangka panjang Malaysia.

Beliau berkata, pelaburan tersebut selaras dengan visi kerajaan di bawah kerangka Ekonomi Madani yang disasarkan untuk meningkatkan siling ekonomi negara di samping mengangkat taraf asas bagi seluruh rakyat Malaysia.

“Kami tidak menilai diri kami semata-mata berdasarkan jumlah nilai pelaburan yang berjaya kami tarik. Kami meneliti sama ada pelaburan tersebut mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik, membina lebih banyak keupayaan, menjalinkan hubungan dengan pembekal tempatan di Malaysia, serta menyokong pembangunan mampan,” kata beliau.

Anwar berkata melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan insentif pelaburan yang disasarkan, kerajaan memberikan ganjaran kepada hasil menyeluruh yang membawa aktiviti bernilai lebih tinggi, pekerjaan berkemahiran, serta perkongsian tempatan.

Perdana Menteri dalam pada itu berkata, pusat pengedaran itu mencerminkan aspirasi perdagangan Malaysia yang lebih luas, dengan barangan dari seluruh dunia tiba di Malaysia, memperoleh nilai tambah di negara ini, sebelum diedarkan ke pasaran di serata dunia.

Katanya, kemudahan tersebut memperlihatkan peralihan strategik negara daripada sekadar mengendalikan jumlah kargo yang lebih besar kepada menceburi aktiviti yang bernilai lebih tinggi.

Menerusi GDC menurutnya, barangan akan diasingkan, disimpan, dan dibungkus semula di pusat Pulau Indah untuk diedarkan ke pelbagai pasaran antarabangsa sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran bagi rakyat Malaysia.

“Itulah sebabnya mengapa kami melabur dalam setiap kaedah pengangkutan. Di laut, Westports 2 akan meningkatkan kapasiti Westports kepada hampir dua kali ganda dan kami sedang merancang pembinaan sebuah pelabuhan mega di Pulau Carey pada masa depan.

“Di darat, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan rangkaian pengangkutan rel kami akan membawa lebih banyak kargo ke pelabuhan kami tanpa menggunakan laluan lebuh raya. Di udara, kami sedang mengembangkan lapangan terbang dan kapasiti kargo udara.

“Melalui Dasar Pengangkutan Negara yang diperbaharui, ini akan berfungsi sebagai satu sistem,” katanya.

GDC Daiso di Taman Perindustrian Samudera, Pulau Indah melibatkan kemudahan seluas 133,666 meter persegi (kira-kira 1.33 juta kaki persegi) iaitu gudang terbesar Daiso di seluruh dunia, mengatasi saiz fasilitinya di Hiroshima, Jepun.

Pusat berkenaan akan menjadi pangkalan utama operasi logistik kumpulan itu bagi 27 negara di Asia dan Asia Barat dengan keupayaan mengendalikan lebih 1,000 kontena barangan keperluan rumah, alat tulis dan gaya hidup pada satu-satu masa. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini