EKONOMI Malaysia dijangka berkembang antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027, didorong pelbagai ikhtiar kerajaan untuk memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, erti sebenar unjuran itu bukan hanya terletak pada angka pertumbuhan, namun yang lebih mustahak ialah sama ada pertumbuhan tersebut mampu menjana produktiviti yang lebih tinggi, gaji yang lebih baik, pekerjaan bermutu serta masa hadapan yang lebih terjamin buat rakyat.
“Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, manakala bagi keseluruhan tahun 2026, pertumbuhan kini diunjur menghampiri paras tertinggi dalam ambang unjuran 4.8 hingga 5.3 peratus.
“Pertumbuhan ekonomi telah melangkaui jangkaan pada 2024 dan 2025, dengan momentum tersebut berterusan pada 2026, namun angka pertumbuhan semata-mata tidak boleh menjadi satu-satunya neraca untuk menilai tahap kemajuan negara,” katanya dalam prakata laporan Tinjauan Ekonomi 2027.
Beliau berkata, peningkatan pelaburan dan pengembangan ekonomi mesti diterjemahkan kepada pendapatan yang lebih tinggi, pekerjaan yang lebih baik serta peluang yang lebih luas buat rakyat Malaysia, khususnya anak-anak muda.
“Pelaburan yang kita raih hari ini perlu memperkukuh keupayaan pengeluaran, memperdalam kemampuan domestik serta membuka lebih banyak peluang bernilai tinggi untuk masa hadapan.
“Kerangka Ekonomi Madani digagaskan untuk menangani kelemahan struktur ekonomi serta meletakkan Malaysia pada landasan pembangunan yang lebih mampan dan terangkum.
“Matlamatnya adalah membina ekonomi yang menjana nilai lebih tinggi dengan struktur pengeluaran yang lebih rencam, selain bertunjangkan tatakelola yang baik, kelestarian alam dan keadilan sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia mesti bergerak dengan lebih pantas ke arah sektor pembuatan bernilai tinggi, mempercepat peralihan tenaga serta memperkukuh keupayaan dalam kecerdasan buatan, robotik dan teknologi baharu yang lain.
“Inilah antara daya utama yang sedang melakar semula corak pelaburan, produktiviti dan daya saing dunia,” katanya.
Beliau berkata, gangguan daripada perubahan teknologi dan ekonomi tidak dapat ditangkis, sebaliknya mesti diurus dengan penuh tanggungjawab.
“Tugas kerajaan adalah untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran dan peluang agar mereka mampu meraih manfaat daripada perubahan ini, membantu pekerja serta industri mengharungi tempoh peralihan, serta memastikan kemajuan teknologi membawa kemakmuran yang lebih luas dan bukannya memperdalam jurang kesenjangan,” katanya.
Sementara itu, Anwar dalam prakata Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027 berkata, defisit fiskal negara diunjur terus menyusut kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027, selaras dengan usaha kerajaan meneruskan konsolidasi fiskal secara beransur-ansur dan terukur.
Menurutnya, matlamat itu tidak mungkin dicapai dengan mengawal perbelanjaan semata-mata, sebaliknya menuntut tatakelola yang lebih baik.
“Tadbir urus operasi serta perolehan sektor awam perlu menjadi lebih cekap, manakala perbelanjaan pembangunan mesti ditumpukan kepada program dan projek yang memberikan nilai terbesar kepada rakyat,” katanya.
Anwar berkata, konsolidasi fiskal yang dilaksanakan secara beransur-ansur dan terukur berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.4 peratus daripada KDNK pada 2021 kepada 3.7 peratus pada 2025.
“Penyasaran semula subsidi, diiringi ikhtiar menutup ketirisan serta memperbaik pengurusan sumber awam, adalah untuk memberi ruang nafas kepada Kerajaan bagi menyalurkan bantuan dengan lebih berkesan sambil terus mendukung pertumbuhan ekonomi.
“Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah dan Budi Madani terus menjadi antara tonggak utama dalam melindungi isi rumah, khususnya ketika kenaikan harga tenaga dunia kembali memberi tekanan terhadap kos sara hidup.
“Bantuan turut diteruskan kepada perniagaan yang terkesan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sasaran defisit 2026 disemak kepada 3.6 peratus daripada KDNK susulan kesan fiskal daripada krisis geopolitik mutakhir serta kenaikan harga minyak dunia.
“Langkah ini bukan bererti kita menyimpang daripada ikhtiar konsolidasi fiskal. Sebaliknya, ia membuktikan nilai sebenar ikhtiar membina semula ruang fiskal, yakni memberi kerajaan keupayaan untuk bertindak apabila keadaan menuntutnya,” katanya. – UTUSAN











