MELAKA: Syarikat pembekal makanan yang cuai sehingga gagal memastikan kualiti hidangan kepada pelajar di institusi pendidikan boleh dikenakan tindakan termasuk disenarai hitam daripada terus beroperasi di mana-mana institusi di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd Ali berkata, tindakan itu wajar dipertimbangkan sekiranya hasil siasatan mengesahkan kecuaian berpunca daripada pihak syarikat terbabit.
Menurutnya, pihaknya memandang serius aduan berhubung penyediaan makanan tidak memuaskan di Dewan Selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin apabila pelajar dilaporkan menerima hidangan ayam tidak dimasak dengan sempurna pada petang Ahad lalu.
Beliau berkata, kejadian itu amat dikesali kerana berlaku dalam institusi pendidikan di negeri ini membabitkan pelajar tingkatan lima yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya rasa kesal kerana kejadian ini berlaku di dalam institusi pendidikan tinggi di negeri Melaka dan ia pula melibatkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan penting dalam hidup mereka iaitu SPM.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana selepas mendapat kontrak untuk menyediakan makanan dalam tempoh yang lama, pengusaha sepatutnya menunjukkan tanggungjawab, lebih-lebih lagi apabila kontrak mereka hampir tamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang pertama bagi kerajaan negeri Melaka penggal Ke-16 di Seri Negeri hari ini.
Mengulas kemungkinan syarikat terbabit disenarai hitam daripada memperoleh kontrak di institusi pendidikan lain di Melaka, Mohd. Ridhwan berkata, perkara itu boleh dilaksanakan bergantung kepada hasil siasatan pihak berkaitan.
Mengulas lanjut Mohd. Ridhwan berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pengurusan MRSM berkenaan serta Mara bagi mengetahui punca sebenar kejadian sebelum tindakan sewajarnya diputuskan.
Katanya, tindakan terhadap syarikat terbabit perlu dijadikan pengajaran kepada pengusaha perkhidmatan makanan lain supaya tidak mengambil mudah tanggungjawab menyediakan makanan kepada pelajar. – UTUSAN











