KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) didapati mengumpul baki geran penyelidikan terbiar berjumlah lebih RM225 juta sepanjang hampir dua dekad, sekali gus mendedahkan kelemahan pengurusan dana awam bagi program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.
Lebih membimbangkan, sebanyak 19 prototaip peranti perubatan i-Breath bernilai RM1.6 juta di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) didapati gagal dikesan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, hak harta intelek bagi peranti berkenaan turut didaftarkan atas nama bekas penyelidik utama dan bukannya kerajaan.
Beliau berkata, perkara itu antara penemuan dalam laporan PAC berhubung program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
“Membiarkan ratusan juta dana awam terbiar, pembaziran akibat kurangnya kerjasama dan komunikasi antara kementerian dan agensi, serta kecuaian dalam menguruskan aset dan hak cipta, adalah satu pengkhianatan terhadap kepercayaan negara,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Menurutnya, ketiadaan dasar berkaitan pemulangan baki geran serta kelemahan pemantauan selepas projek selesai menyebabkan sejumlah besar dana awam terus tersimpan dalam akaun agensi.
Selain itu, PAC turut mengenal pasti kelemahan pengurusan kemudahan berisiko tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjejaskan pelaksanaan projek penyelidikan dan pembangunan.
Mas Ermieyati berkata, kelewatan kritikal selama 15 bulan dalam projek menaik taraf bangunan yang terjejas akibat kulat dan asbestos toksik di universiti berkenaan telah menjejaskan 27 projek penyelidikan dan pembangunan.
“Kelewatan kritikal selama 15 bulan dalam projek naik taraf bangunan yang terjejas akibat kulat dan asbestos toksik di UKM telah menjejaskan 27 projek penyelidikan dan pembangunan.
“Kerajaan terpaksa menanggung kerugian tambahan sebanyak RM1.81 juta untuk penyewaan makmal luaran, selain menjejaskan persekitaran yang selamat untuk penyelidik dan pelajar,” katanya.
Sehubungan itu, PAC mengesyorkan supaya institusi pendidikan tinggi (IPT) dan agensi pelaksana diwajibkan memulangkan baki geran dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas sesuatu projek diselesaikan.
Institusi atau agensi yang gagal mematuhi ketetapan itu pula disyorkan dikenakan penalti peruntukan atau disekat daripada menerima geran penyelidikan baharu.
PAC turut menggesa KPT mewajibkan pelaksanaan audit keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara berkala di semua makmal penyelidikan universiti bagi memastikan kemudahan berkenaan memenuhi piawaian keselamatan.
Pada Februari lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli berkata, baki geran berjumlah RM110.67 juta yang belum dipulangkan membabitkan lima universiti penyelidikan perlu dilihat berdasarkan konteks tempoh pengumpulan selama 20 tahun. – UTUSAN











