KUANTAN: Peneroka dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Pahang menanggung kerugian berjumlah RM2.29 juta akibat ketirisan dan kecurian hasil kelapa sawit yang direkodkan dalam tempoh 2023 hingga 2026.
Jumlah itu membabitkan 1,733 kes kecurian hasil sawit di tiga wilayah Felda di negeri ini iaitu Jengka, Kuantan dan Mempaga yang merangkumi 115 rancangan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, Wilayah Jengka merekodkan jumlah kes sebanyak 1,473 kes sepanjang tempoh berkenaan dengan kerugian RM1.47 juta, manakala Wilayah Kuantan mencatatkan 197 kes dan kerugian RM302,568.76.
Beliau berkata, pelbagai langkah proaktif dilaksanakan bagi membanteras kegiatan itu termasuk kawalan dan rondaan ladang oleh Felda Security Services Sdn. Bhd. di beberapa rancangan di wilayah Jengka.
“Antara langkah lain ialah pemasangan sekatan jalan di rancangan bawah Kompleks Jawatankuasa Pemuafakatan Produktiviti dan Kualiti (JPPK) yang merangkumi lapan kawasan di Jengka.
“Kerjasama dengan polis juga membuahkan hasil apabila beberapa siri tangkapan dilakukan di Felda Sungai Rentang, Jengka 19 dan Bukit Tajau,” katanya pada sesi soalan lisan di Sidang DUN Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan terhadap pembeli dan pusat pengumpulan buah sawit yang beroperasi tanpa lesen turut diberi perhatian bagi memastikan pencuri tidak mempunyai saluran untuk menjual hasil curi.
Katanya, pemeriksaan berkala di pusat timbang dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan JPPK termasuk menyemak sumber serta rekod pembelian buah sawit.
“Felda juga melihat kaedah mewajibkan penggunaan lori berdaftar yang dikenal pasti melalui warna tertentu bagi mengawal kenderaan yang dibenarkan memasuki kawasan kilang.
“Selain itu, sistem resit atau slip jualan digunakan bagi membolehkan pihak berkaitan mengenal pasti sumber buah sawit sama ada daripada lot peneroka Felda, persendirian atau syarikat,” katanya.
Beliau berkata, tindakan menutup pusat pengumpulan atau kilang haram serta mengenakan kompaun dan penalti turut dilaksanakan sebagai langkah memutuskan rantaian penjualan hasil curi.
Katanya, kawalan akses termasuk pemantauan laluan tidak rasmi atau jalan tikus di kawasan Felda juga perlu dipertingkatkan menerusi kerjasama pengurusan rancangan, JPPK, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) serta masyarakat setempat. – UTUSAN











